Berita

Megaklinik Zahran sedia perkhidmatan saringan Covid-19 ke rumah

PERKHIDMATAN saringan Covid-19 ke rumah disediakan bagi menyahut seruan PKP.
- Diterbit 8 April 2020 2:08 PM MYT

BANDAR BARU BANGI – Menyedari pergerakan masyarakat agak terbatas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Megaklinik Zahran tampil menyediakan perkhidmatan saringan Covid-19 Mobil berkonsepkan pintu ke pintu.

DR. SAZARUL

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Megaklinik Zahran, Dr. Sazarul Zafirah Zainal Abidin, objektif utama perkhidmatan tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar orang ramai kekal di rumah.

Jelas beliau, pada masa ini, perkhidmatan yang disediakan itu melibatkan kawasan sekitar 15 kilometer dari Megaklinik Zahran, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan cawangan Melaka.

“Kami akan ke rumah pesakit dengan kelengkapan yang secukupnya di samping langkah-langkah keselamatan yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sepanjang tempoh PKP, kami menerima banyak permintaan daripada pelanggan yang menginginkan perkhidmatan ke rumah, atas keprihatinan tersebut, kami mengambil keputusan untuk melancarkannya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menurutnya lagi, perkhidmatan Mobil juga meliputi konsultasi doktor, suntikan vaksin dan sebagainya.

“Megaklinik Zahran juga turut menyediakan perkhidmatan Zahran Drive Thru di semua cawangan klinik yang mana pesakit tidak perlu masuk ke klinik untuk mengambil ubat atau melakukan saringan Covid-19.

“Selain itu, perkhidmatan Zahran2U juga turut diperkenalkan dengan penghantaran ubat mahupun vitamin terus ke rumah pelanggan,” ujarnya.

Menurut Sazarul lagi, Megaklinik Zahran turut berkolaborasi bersama Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU) dengan melancarkan projek ‘Cahaya’ Covid-19 bagi mengumpul dana untuk golongan yang memerlukan dalam tempoh PKP ini.

“Hasil dana tersebut akan disalurkan kepada 2,000 keluarga susah dan 30 buah rumah warga emas,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin meringankan beban golongan memerlukan boleh menderma ke akaun Maybank Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Ummah, nombor akaun 5628 3464 2417 (pengecualian cukai disediakan).

Sebagai rekod, Megaklinik Zahran memiliki tujuh cawangan di Seksyen 7, 8 dan 9, Bandar Baru Bangi, Bandar Teknologi, Kajang, Bandar Tun Hussein Onn Cheras, Bandar Baru Nilai dan Bandar Raya Melaka. – WILAYAHKU

SARINGAN Covid-19 secara pandu lalu (drive thru) turut disediakan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas