Berita

Konsep e-iftar YWP permudah sumbangan berbuka puasa

- Diterbit 8 April 2020 1:56 PM MYT

PUTRAJAYA – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menawarkan kaedah e-iftar bagi membolehkan golongan korporat atau individu perseorangan terus mengamalkan budaya bersedekah dan membantu golongan kurang berkemampuan untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi YWP, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, kaedah yang diperkenalkan itu juga memudahkan penyumbang kerana makanan yang ditempah akan dihantar secara e-hailing terus kepada penerima menerusi konsep pintu ke pintu (door to door).

Jelas beliau, kaedah yang ditawarkan adalah menerusi penyediaan lima jenis set menu bagi membolehkan penyumbang memilih hidangan yang ingin disalurkan kepada golongan sasar.

“Kita tawarkan kaedah satu set menu mungkin lima jenis set. Orang yang nak bersedekah makanan, dia perlu beritahu berapa ramai orang dia nak beri untuk berbuka puasa dan dia boleh beri alamat orang yang dia nak jemput buka puasa untuk kita hantar,” katanya.

Menurut Annuar, pihak YWP juga boleh menyediakan golongan asnaf atau penerima untuk memudahkan penyumbang menyalurkan bantuan sekiranya mereka tidak tahu golongan sasar yang memerlukan.

“Macam nak anjurkan program buka puasa dan nak 100 orang makan, sama ada dia cari atau nak kita carikan pun boleh sebab kita ada alamat-alamat orang yang duduk projek perumahan rakyat (PPR), alamat asnaf.

“Dia boleh pilih menu, kalau dia pilih menu RM15 jadi kos RM1,500. Dia buat bayaran pada YWP dan kita dengan kerjasama e-hailing akan hantar kepada 100 orang yang dia pilih atau kita pilih, tapi tidak himpun orang makan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Annuar berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin melakukan sumbangan dan terus mengamalkan sedekah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 menerusi kaedah baru, e-iftar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas