MEMAHAMI dengan keadaan jambatan usang di rumah Saniah Abd Rahman di Kampung Patau-Patau Dua sejak beberapa tahun lalu, Megah Port Management Sdn Bhd menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih jambatan berkenaan.

Inisiatif itu merupakan salah satu usaha Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien bersama Megah Port Management Sdn Bhd.
Beliau berkata, kerjasama di antara pihak syarikat swasta amat diperlukan untuk membantu serta menjaga kebajikan masyarakat di pulau ini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kita harap selepas ini lebih banyak lagi syarikat-syarikat swasta tampil bagi membantu agar masyarakat yang menghadapi kesusahan dapat dibantu dengan kadar segera,” katanya kepada Wilayahku selepas merasmikan simbolik naik taraf jambatan di Kampung Patau-Patau Dua, baru-baru ini.
Amir turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat Megah Port Management di atas kerjasama dan sumbangan yang telah dihulurkan.
Sementara itu, Pegawai Pengurusan Megah Port Management, Chi On Keong memaklumkan kerja-kerja naik taraf jambatan sepanjang 13.5 meter itu yang membabitkan peruntukan sejumlah RM18,000 telah siap sepenuhnya pada awal Mac lalu.
“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat kami bersama Perbadanan Labuan bagi membantu membaik pulih jambatan ini,” katanya. -WILAYAHKU