Berita

MAIWP Labuan agih 405 tablet bernilai RM753,300

FADZLI (depan, dua dari kanan) serah cek replika sebagai simbolik penyerahan tablet kepada penerima. FADZLI (depan, dua dari kanan) serah cek replika sebagai simbolik penyerahan tablet kepada penerima.
- Diterbit 26 Mac 2022 6:00 AM MYT

SEBANYAK 405 tablet diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan kepada keluarga asnaf dan keluarga berpendapatan rendah yang terpilih di Pulau Bebas Cukai ini.

Menurut Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad, agihan itu dibuat menerusi bantuan Musaadad COVID-19 MAIWP bernilai RM1,500 setiap satu membabitkan jumlah keseluruhan bantuan RM753,300.

Katanya, setiap penerima bantuan turut menerima pakej data internet selama setahun dengan kos RM30 sebulan bagi sebuah tablet.

“Dengan bantuan tablet yang diberikan dapat membantu golongan ini menghadiri pembelajaran secara dalam talian dan mengelakkan daripada berlakunya keciciran kelas.

“Ini juga menyumbang ke arah kecemerlangan murid khususnya di kalangan anak-anak asnaf dan sudah menjadi salah satu tanggungjawab MAIWP dalam membantu institusi pendidikan melahirkan murid yang cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tablet kepada anak-anak asnaf di Kompleks Darul Kifayah MAIWP, baru-baru ini.

Beliau berkata, agihan dilaksanakan secara berperingkat bermula 14 hingga 17 Mac 2022 di ruang legar Blok Pentadbiran, Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan. Penerima bantuan melibatkan 300 orang asnaf, 33 orang murid SMA MAIWP Labuan yang terpilih dan 72 orang penghuni Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas