Atlet Wilayah

Haikal sasar gelaran juara SUKMA 2022

HAIKAL (kiri) meraikan kemenangannya sebagai Juara Interstate 2019. HAIKAL (kiri) meraikan kemenangannya sebagai Juara Interstate 2019.
- Diterbit 27 Mac 2022 6:00 AM MYT

ATLET tenpin boling Wilayah Persekutuan, Haikal Hazlan, 21, mengakui mahu meyandang gelaran juara bersama tim dalam SUKMA 2022 akan datang.

Bagi merealisasikan impian tersebut, dia kini konsisten menjalani latihan tiga kali seminggu.

“Kali ini mungkin penglibatan terakhir saya dalam SUKMA jadi saya harap tersenarai untuk kejohanan tersebut. Untuk itu, sekarang ini saya sibuk berlatih bersama Tim setiap hari Isnin, Khamis dan Ahad.

“Biasanya setiap Ahad kami ada sesi perlawanan manakala sebelah malamnya pula disambung dengan sesi latihan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang latihan, Haikal berkata dia tidak hanya mengharapkan latihan bersama tim semata-mata bahkan turut meluangkan masa melakukannya secara sendirian.

“Kebiasaannya saya akan mengambil masa sehingga dua jam bagi setiap sesi latihan yang dijalankan,” katanya lagi.

Tambahnya sebagai salah satu persediaan menghadapi SUKMA 2022 akan datang, dia bersama timnya akan menyertai Brunswick Challenge yang turut disertai atlet SUKMA dari negeri lain.

“Saya dimaklumkan kejohanan tersebut akan berlangsung pada 4 Jun ini namun ia tertakluk pada pihak penganjur dan hingga kini masih tiada sebarang kata putus lagi.

“Banyak kejohanan terpaksa dibatalkan sebelum ini disebabkan pandemik jadi saya harap Brunswick Challenge ini dapat dijadikan acara pemanas badan sebelum SUKMA 2022 berlangsung,” ujar anak keempat daripada enam orang adik-beradik ini.

Menjadikan atlet tenpin boling, Syafiq Ismail sebagai idola dalam dunia boling, Haikal berkata, dia akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan gelaran juara memandangkan tahun ini merupakan SUKMA terakhir yang dapat disertainya.

Mengabdikan diri dalam dunia boling sejak berusia lima tahun, Haikal berkata ibu dan bapanya merupakan pendorong utama untuk dia terus berada dalam bidang ini.

“Saya memang membesar dengan dunia boling memandangkan ibu dan bapa saya juga merupakan bekas atlet boling. Jadi, sukan ini sudah sebati dalam diri saya.

“Sekiranya pada masa akan datang saya tidak lagi menyertai sebarang kejohanan, saya bercita-cita untuk menjadi pembekal barangan boling,” ujarnya yang menyasarkan untuk beraksi di Terbuka Malaysia suatu hari nanti. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas