Artikel

Medan Selera Tanglin penuh dengan lauk-pauk

TERDAPAT enam buah gerai yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan juadah.
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:44 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

APABILA disebut nama Medan Selera Tanglin, pasti ramai warga kota terbayang keenakan nasi lemak dan ikan bakar yang menjadi ‘ikon’ utama medan selera ini.

Bahkan, ramai golongan pekerja sanggup meredah kesesakan lalu lintas hanya untuk merasai pengalaman bersarapan nasi lemak Tanglin dan makan tengah hari berlaukkan ikan bakar yang terkenal di sini.

Medan Selara Tanglin sering sesak dengan kebanjiran pelanggan ini terletak berhampiran ibu pejabat polis Bukit Aman dan berhadapan dengan Klinik Kesihatan Tanglin mempunyai kira-kira enam buah gerai yang menjual pelbagai menu sarapan, makan tengah hari dan dibuka seawal pukul 6.30 pagi dan beroperasi sehingga pukul 9 malam.

PELBAGAI jenis makanan boleh didapati di Medan Selera Tanglin.

Antara gerai yang menjadi tumpuan utama, semestinya gerai no. 6, nasi lemak Tanglin. Keenakan nasi lemak ini sering menjadi bualan orang ramai yang sudah merasainya, tidak lengkap hidangan sepinggan nasi lemak tanpa lauk-pauk yang turut ditawarkan kepada pengunjung di sini.

NASI Lemak Tanglin

Antara lauk yang ditawarkan adalah sambal sotong, paru goreng, sambal kerang, limpa, bergedil, ayam goreng dan pelbagai lagi lauk pauk yang pastinya mempu menduga selera anda.

Selain itu, terdapat juga gerai yang menyajikan menu sarapan antaranya gerai no. 4 yang menjual mi goreng Tanglin dan mi kari yang turut mendapat permintaan daripada pengunjung.

Rasa kedua-dua hidangan ini adalah unik kerana ia lebih kepada cara masakan Cina dengan mi karinya tidak rasa kari namun lebih kepada rasa sambal ikan bilis. Selain itu, masakan cara Cina seperti char kuey teow, nasi goreng cara cina, mi Kungfu dan sebagainya ada di gerai ini.

Gerai no. 1 pula tiada papan tanda yang tertera, namun gerai ini menyajikan menu kopitiam seperti kopi putih, cham (kopi dan teh campur) dan makanan seperti roti bakar dan kukus serta telur separuh masak.

Selain itu, gerai no. 5 pula terkenal dengan menu utamanya, aneka jenis Ikan bakar. Di gerai ini, antara yang dijual adalah ikan keli bakar, ikan terubuk, ikan pari, ikan kembong, malah turut ditawarkan kepada pengunjung menu sotong gergasi bakar. Tidak lengkap hidangan ini tanpa kuah pencicah air asam.

PELBAGAI jenis lauk dan ikan bakar turut terdapat di Medan Selera Tanglin.

Digerai ini juga terdapat pelbagai menu nasi campur yang pasti tidak akan menghampakan anda. Menu yang terdapat di sini juga pasti memenuhi selera anda malah ia berbaloi dengan harga yang dibayar.

Antara keunikan yang ada di medan selera ini adalah dua kumpulan busker yang mendendangkan lagu irama melayu asli seperti joget, keroncong dan zapin yang memikat golongan warga emas untuk menjamu selera.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas