Berita

MCMC nafi sekat kebebasan media 

MCMC memainkan peranan penting sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
- Diterbit 2 September 2023 12:30 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan bahawa kebebasan media di negara ini disekat.

Sebagai maklum balas terhadap kenyataan terbuka oleh Reporters Without Borders (RSF) yang bertajuk ’RSF denounces arbitrary suspension of news websites critical of the government’, MCMC berkata tindakan tersebut diambil adalah untuk memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat.

MCMC berkata tanggungjawab mereka adalah untuk menegakkan integriti maklumat di Malaysia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Sebagai badan kawal selia untuk industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, salah satu Matlamat Dasar Kebangsaan MCMC ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan.

“Ia termasuk maklumat kurang tepat dan ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti Raja Berperlembagaan dan institusi demokrasi dengan penghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambahnya salah satu tanggungjawab utama MCMC ialah untuk mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Dengan peningkatan penyebaran maklumat dalam talian, terdapat peningkatan dalam pelaporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat.

“Beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan boleh mengancam keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Untuk menangani isu-isu ini, MCMC berkata pihaknya mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam.

“Walau bagaimanapun, MCMC adalah terbuka untuk berdialog dan sering mengadakan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu-isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.

“MCMC berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat,” jelasnya.

Terdahulu, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh MCMC.

Mereka dalam kenyataan bersama meluahkan kebimbangan itu apabila MCMC sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.

Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas