Berita

McDonald’s Malaysia bayar zakat tertinggi tahun ini

||
- Diterbit 27 November 2021 2:30 AM MYT

MCDONALD’S Malaysia membayar zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada 14 agensi pungutan zakat, bagi tahun ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pembayaran tersebut merupakan jumlah terbesar, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat  Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras McDonald’s, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan zakat.

“Inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, sumbangan ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya,” ujarnya dalam kenyataan pada 17 November.

Terdahulu, majlis penyampaian zakat diadakan di McDonald’s Putrajaya Presint 2. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyaksikan sumbangan zakat oleh Azmir kepada wakil daripada kesemua 14 agensi pungutan zakat.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, sumbangan zakat adalah penting dalam menyokong kebajikan sosial masyarakat yang kurang berkemampuan.

Tambahnya, dengan pembayaran zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia, diharap ia dapat membantu agensi pungutan zakat di seluruh Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat yang memerlukan, serta meneruskan penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pendidikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas