Berita

RESIPI RINGKAS LAUK-PAUK KENDURI

||
- Diterbit 27 November 2021 2:30 AM MYT

SEDAPNYA kalau dapat makan aneka lauk-pauk kampung. Tak jemu, tak muak dan sangat membuka selera.

Pada musim pandemik ini, susah sedikit nak balik ke kampung halaman untuk menghadiri majlis kenduri kendara kerana perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Jadi bagi anda yang teringin sangat nak makan lauk kenduri, bolehlah cuba masak sendiri di rumah menggunakan resipi perkongsian akhbar Wilayahku edisi kali ini.

Sesekali makan lauk kenduri simple macam ini, memang buka selera. Jom cuba!

AYAM MASAK TOMATO

BAHAN-BAHAN

1 ekor ayam dipotong kecil

3 biji tomato dipotong dadu

1 biji bawang besar dihiris bulat

1 tin puri tomato

1 tin susu cair

4 sudu makan pes cili kering

3 batang serai

Garam dan gula secukup rasa

Minyak masak secukupnya

BAHAN KISAR

1 biji bawang besar

4 ulas bawang merah

6 ulas bawang putih

3 cm halia

3 cm lengkuas

4 biji cili merah

4 biji buah keras

CARA PENYEDIAAN

  1. Ayam dipotong kecil, dicuci bersih dan toskannya.
  2. Gaulkan bersama sedikit serbuk kunyit dan garam halus.
  3. Panaskan minyak, goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  4. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
  5. Tumiskan hirisan bawang besar bersama serai hingga wangi.
  6. Kemudian masukkan pula bahan kisar dan pes cili kering.
  7. Tumis hingga pecah minyak, baru masukkan puri tomato.
  8. Akhir sekali masukkan ayam yang telah digoreng separuh masak tadi.
  9. Kacau rata dan masukkan santan dan tomato yang dipotong dadu, biarkan mereneh.
  10. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  11. Setelah cukup rasa, tutup api dan ayam tomato sedia untuk dihidangkan.

ACAR TIMUN

BAHAN-BAHAN

6-7 batang timun saiz besar

800 ml air

12 sudu makan cuka

3 biji bawang Holland dibelah 4

8 biji cili merah dihiris

Garam dan gula secukup rasa

Minyak masak secukupnya

BAHAN KISAR

2 biji bawang besar

12 ulas bawang putih

10 sudu makan cili kisar

2 inci halia

CARA PENYEDIAAN

  1. Bersihkan timun, belah 3 bahagian dan hiris memanjang. Buang bijinya dan rendam dalam air garam seketika.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga garing.
  3. Masukkan air dan cuka masak. Kacau sebati dan biarkan mendidih.
  4. Seterusnya masukkan timun dan biarkan mendidih seketika.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Masukkan bawang serta cili potong dan biar masak seketika.
  7. Angkat dan hidangkan. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas