Berita

MCCC rintis kerjasama agensi, raikan sambutan Hari Kebangsaan ke-64

MUSA Hasan memasang bendera pada salah sebuah kenderaan yang melalui kawasan program yang diadakan oleh MCCC di sekitar Cheras, baru-baru ini. MUSA Hasan memasang bendera pada salah sebuah kenderaan yang melalui kawasan program yang diadakan oleh MCCC di sekitar Cheras, baru-baru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2021 5:00 AM MYT

BERTEPATAN semangat kebangsaan dan berjiwa merdeka, satu inisiatif kerjasama berjaya dirintis Malaysia Community Crime Care (MCCC) dengan pelbagai agensi bagi menyemarakkan lagi aktiviti menjelang sambutan kemerdekaan tahun ini.

Hasilnya, enam institusi meliputi agensi kerajaan, swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengambil bahagian pada program Pemasangan Bendera Malaysia dan Zikir Munajat yang dianjur MCCC sempena Hari Kebangsaan ke-64 itu.

SELAIN memasang bendera pada kenderaan, program yang sama turut
mengagihkan kira-kira 1,000 bendera kepada orang ramai di kawasan sekitar.

Inisiatif yang diambil kata Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan, bertujuan menyemarak semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat yang kini berdepan ancaman COVID-19, perlu bangkit dan bersama menentang wabak membunuh itu.

Beliau berkata, budaya bersatu padu diamal oleh pelbagai kelompok rakyat selama ini perlu segera digembleng untuk melawan pandemik COVID-19 seterusnya memenangkan Malaysia.

“Memandangkan negara bakal menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 tanggal 31 Ogos ini di dalam keadaan diancam COVID-19 yang masih catatkan kes jangkitan tinggi, maka MCCC menyeru rakyat bersama memerdekakan negara daripada wabak, melalui cara penyatuan kibarkan jalur gemilang.

“Hasil sambutan positif rakan penganjur Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan, SWCorp serta Kontraktor Alam Flora, Pejabat DBKL Parlimen Cheras dan MAPIM, objektif program ini tercapai terima kasih semua terlibat jayakan program ini,” katanya selepas sesi memasang dan mengedar 1,000 bendera kepada orang awam di Cheras.

Selain Pemasangan Bendera Malaysia di sebelah pagi, 21 Ogos lalu, sesi malamnya pula diadakan Zikir Munajat berlangsung di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai.

Program berbentuk keagamaan itu bermula tepat pukul 9.30 malam dan turut dipancarkan secara live di Facebook MCCC dengan sambutannya daripada orang ramai amat memuaskan termasuk dihadiri barisan artis tanah air seperti Ibnu Riza, Hail Amir, Razif Ismail, Hasnol, Aan Kumpulan Ways. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas