Selebriti

Mawar Karim dikaitkan ada hubungan istimewa dengan ahli politik PAS

- Diterbit 29 Mei 2021 11:54 AM MYT

KECOH dalam kalangan masyarakat apabila isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar Karim dikaitkan kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan pemimpin politik daripada PAS.

Gosip ini mula menjadi perbualan selepas tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa Mawar berada dalam sebuah kenderaan bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dalam hantaran yang dikongsi netizen di media sosial, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan bersama seorang wanita dipercayai Mawar semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua pihak masih mengunci mulut dan tidak mengeluarkan sebarang penafian mengenai dakwaan tersebut.

Dalam masa yang sama, Mawar enggan melayan dakwaan tersebut dan mengakui hanya berada di Kuala Lumpur.

“Adoi… letih nak baca, baik cari nasi kandar perut pun kenyang. Macam-macam cerita keluar.

“Saya dekat Kuala Lumpur saja. Ayoo lepas ni siapa pula nak create (isu),” jawabnya pada salah satu komen pengikut yang mahu mengetahui mengenai khabar angin itu, menerusi instagram.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu iaitu Datuk Roslee Chik mengesahkan Mohd Khairuddin diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing pada 16 Mei lalu.

Roslee berkata siasatan lanjut kini dijalankan termasuk dakwaan dan maklumat tular melibatkan ahli politik itu.

“Beliau ada diperiksa ketika melalui SJR itu pada 16 Mei lalu dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang melakukan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Siasatan penuh akan dilakukan termasuk semua mesej berangkai yang ditularkan sejak Rabu lalu bagi merungkai khabar angin dan dakwaan yang tersebar mengaitkan Mawar. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas