Selebriti

Siti Nurhaliza lancar Tabung Bantuan Khas Palestin dan COVID-19

||
- Diterbit 29 Mei 2021 10:00 PM MYT

BINTANG nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah melancarkan Tabung Bantuan Khas Palestin dan COVID-19 semalam.

Menurut Siti, tabung bantuan ini adalah kesinambungan daripada Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Siti Nurhaliza pada tahun lalu yang dihulurkan kepada golongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

Tabung ini diusahakan oleh Yayasan Nurjiwa & CTDK Holdings dengan kerjasama platform Kita Fund.

“Minggu ini, baru saya boleh fokus kepada beberapa hal yang saya rancangkan kerana saya masih dalam pantang (di hujung masa pantang). Walaupun usaha ini sudah berjalan tetapi saya uar-uarkan secara rasmi hari ini.

“Ini adalah kesinambungan dan meneruskan usaha Dana PKP Siti Nurhaliza pada tahun lalu dan kini dengan nama tabung baharu untuk bantuan khas terkini iaitu Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19, Yayasan Nurjiwa & CTDK Holdings.

“Apa jua usaha yang saya, suami, anda dan kita semua lakukan, saya yakin niat dan fokus adalah sama dan tidak ada lain kerana Allah s.w.t dan Dia Maha Mengetahui.

“Apa yang kita usahakan adalah dari niat dan keikhlasan dan tiada apa-apa kepentingan peribadi. Terima kasih semua. Semoga usaha ini mendapat keberkatan buat kita,” jelas Siti menerusi instagramnya.

Pelantun lagu Anakku Sayangku ini telah melancarkan tabung ini pada tengah hari semalam di instagramnya.

Anda boleh layari dan klik link
https://kita.fund/YNJCTDKHoldings untuk memberi sumbangan.

Anda juga boleh klik link tabung ini di bio Instagram @ctdk (linktree Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid-19) – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas