Berita

Masyarakat perlu siap siaga hadapi tempoh yang lama

Sesi persekolahan juga ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih.
PASUKAN keselamatan sentiasa bersiap siaga meneruskan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.
- Diterbit 10 April 2020 9:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi memerangi penularan wabak Covid-19 yang mengakibatkan bilangan kematian di negara ini meningkat, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 hingga 28 April ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar-pakar perubatan selain memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi serta mengelakkan penularan semula wabak tersebut dalam masyarakat.

“Tindakan ini adalah selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan negara tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal,” katanya dalam Perutusan Khas sebentar tadi.

Muhyiddin juga menyeru supaya masyarakat bersiap siaga berhadapan dengan situasi terkini untuk tempoh masa yang lebih lama atau beberapa bulan sebelum dapat memastikan penularan wabak Covid-19 diatasi 100 peratus.

Ujar beliau, berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan PKP telah dapat membantu para petugas kesihatan mengawal penularan Covid-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Malah katanya, dengan usaha yang dilakukan, kes-kes positif Covid-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan WHO manakala kadar kematian juga rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

“Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43 peratus pesakit Covid-19 pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes. Jumlah kes positif baharu juga menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu.

“Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-Allah kita akan dapat mengawal wabak Covid-19 daripada menular.

“Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

“Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih. Jadi tarawih di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menyedari kebimbangan yang disuarakan ibu bapa berhubung persekolahan anak-anak, Perdana Menteri mengumumkan sesi persekolahan ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih.

Sehubungan itu, jelas beliau, bagi memastikan murid terus mendapat pelajaran, Kementerian Pendidikan diarah untuk melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan sehingga sekolah dibuka.– WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas