Berita

666 lagi individu ditahan ingkar PKP

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 10 April 2020 9:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis telah menahan seramai 666 individu semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 392 daripada mereka dikenakan kompaun RM1,000.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata,
jumlah tersebut yang dilihat masih tinggi mungkin disebabkan jumlah kompaun yang dikenakan masih rendah.

“Kompaun RM1,000 yang dikenakan mungkin rendah kerana masih ada lagi rakyat yang ingkar PKP.

“Saya akan minta Kementerian Kesihatan (KKM) berbincang dengan Peguam Negara untuk menaikkan lagi jumlah kompaun atau penjarakan mereka yang masih ingkar.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan rakyat ingkar kelada PKP yang kita keluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, prosedur operasi standard (SOP) PKP membabitkan pelajar universiti akan dikekalkan sekiranya perintah itu memasuki fasa ketiga, katanya.

Menurut beliau, pelajar universiti akan tetap berada di dalam kampus dan mereka tidak boleh pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Sekiranya PKP diteruskan, SOP lama akan diteruskan seperti biasa iaitu pelajar kekal di kampus dan mereka akan dibekalkan makanan,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan dua minggu lagi hingga 28 April ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas