Berita

Tindakan diambil individu sebar video dakwa CIQ JB dirempuh

KEADAAN CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dalam keadaan tenang.
- Diterbit 10 April 2020 10:16 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan video yang mendakwa CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dirempuh sekumpulan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakaman video tersebut tidak benar dan ia turut dinafikan oleh Jabatan Imigresen.

“Pihak Jabatan Imigresen telah menafikan dan menjelaskan bahawa rakaman video tersebut adalah suasana latihan pencegahan kebakaran oleh Jabatan Bomba yang telah diadakan pada 18 Disember 2019.

“Kerajaan, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius perkara ini kerana ia boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya warga Johor Bahru.

“Saya dimaklumkan polis telah pun mengenal pasti mereka yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Fuziah Salleh’ memuat naik video kejadian dengan kenyataan; “Sedang berlaku di CIQ JB. Situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapura cuba balik beramai-ramai. Harap adalah hotel 5 bintang untuk kuarantin mereka.”

Bagaimanapun, kenyataan itu sudah dipadam.

Mengulas lanjut mengenai penyebaran berita palsu, Ismail berkata, polis dan SKMM telah membuka 207 kertas siasatan berkaitan Berita palsu COVID-19.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 kes sudah didakwa di mahkamah dan kerajaan memandang serius perbuatan menularkan video atau berita palsu dalam kalangan masyarakat hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas