Berita

Masjid, surau di WP keluar tabung RM1.6 juta tolong masyarakat

MOHD. AJIB menyampaikan bantuan kepada seorang wanita pada Majlis Penyampaian Sumbangan JAWI Foodbank kepada masyarakat bukan Islam di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 14 April 2020 1:11 PM MYT

KUALA LUMPUR – Gabungan Masjid dan Surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan membelanjakan lebih RM1.6 untuk melaksanakan program Jawi Foodbank bagi membantu orang ramai yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail berkata, program Jawi Foodbank merupakan pemberian set makanan keperluan asas yang disediakan oleh gabungan 89 buah masjid dan 111 Surau Jumaat melalui dana kutipan tabung masjid.

“Melalui program ini, ia menyumbang kembali kepada orang ramai yang memerlukan tanpa mengira agama dan kaum.

“Antara yang kami sumbangkan hari ini adalah barangan keperluan asas antaranya beras, gula, kicap, tepung dan sebagainya dengan nilai RM100 dan wang tunai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan JAWI Foodbank kepada masyarakat bukan Islam di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan di sini hari ini.

Mohd Ajib berkata, ketika negara diuji dengan musibah, JAWI Foodbank telah mengambil langkah proaktif untuk menyantuni orang ramai yang terkesan akibat PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jawi Foodbank bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk memberikan sumbangan makanan kepada penduduk di kawasan yang terlibat dengan PKPD iaitu Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One di Jalan Masjid India.

“Jumlah sumbangan diberi ini sama seperti apa yang kami sumbangkan di Menara City One iaitu kira-kira 425 set makanan bernilai RM42,500,” katanya.

Selain itu kata belia,  pihaknya turut membantu membekalkan sarapan pagi kepada penghuni di Selangor Mansion dan Malayan Mansion secara bergilir dengan beberapa NGO dan bekerjasama dengan KWP dan DBKL.

“Kami turut menyumbangkan makanan kepada lebih 4,000 petugas termasuk anggota keselamatan dan petugas kesihatan di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Ajib menyampaikan sumbangan JAWI Foodbank dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) kepada 58 orang penduduk sekitar yang bukan Islam.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas