Berita

Terkejut dapat bantuan ‘orang masjid’

MOHD. AJIB menyampaikan bantuan JAWI Foodbank kepada seorang wanita.
- Diterbit 14 April 2020 3:27 PM MYT

KUALA LUMPUR – Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua orang mengalami kesusahan.

Seorang bekas tukang kayu, Ng Yoon Fat, 68, turut tidak terlepas daripada rasa gusar dengan ancaman wabak Covid-19 yang masih menular di seluruh negara.

Hari itu, resah hatinya bagaikan sedikit reda apabila disapa rakannya yang dikenalinya ‘orang masjid’.

Malah sebenarnya dia rasa terkejut apabila dimaklumkan pihak masjid ada menyediakan bantuan makanan untuk orang susah sepertinya.

“Saya rasa gembira kerana dalam keadaan sekarang, kami tidak dilupakan,

“Lebih mengejutkan apabila ‘badan agama Islam’ dan masjid membuka pintu dan memberi sumbangan kepada saya sekeluarga,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Penyampaian Sumbangan JAWIFoodbank kepada 58 penerima di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Pandan di sini hari ini.

YOON FAT

Program tersebut disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail.

Yoon Fatt yang pernah bekerja sebagai tukang kayu di sebuah kilang perabot berkata, inisiatif JAWIFoodbank yang tidak memilih ‘kaum’ dan agama dalam menyalurkan bantuan sememangnya bertepatan dengan semangat Malaysa.

“Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum, pemberian ini amat bermakna kerana JAWI berjaya memupuk perpaduan dan mengambil pendekatan yang betul dalam membantu semua orang yang dalam kesusahan,” katanya.

LETCHUMANAN

Dalam pada itu, bagi P. Letchumanan, 63, yang tinggal di Flat San Peng pula berkata, dia mengetahui program  JAWIFoodbank ini merupakan inisiatif JAWI untuk membantu semua orang di Wilayah Persekutuan.

“Saya dimaklumkan oleh seorang rakan yang juga penerima bantuan dan dari situ, saya cuba untuk memohon bantuan kerana keadaan hidup yang agak sukar ketika  PKP.

“Tidak sangka permohonan saya diluluskan oleh pihak JAWI dan mereka telah menghubungi saya untuk mengambil sumbangan di masjid dan ia merupakan satu kejutan kerana tiada diskriminasi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada JAWI atas sumbangan ini, ia amat bermakna untuk saya sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Ajib Ismail berkata, melalui program JAWI Foodbank ini pihaknya memberikan bantuan kit makanan asas bernilai RM100 termasuk susu bayi kepada golongan yang memerlukan dan terbuka kepada semua orang tanpa mengira agama dan kaum.

“Tujuan kita sampaikan sumbangan ini di masjid adalah bertepatan dengan agama Islam yang membuka pintu masjid seluas-luasnya kepada orang bukan Islam untuk mengenali kebaikan Islam ini,” katanya.

Mohd Ajib berkata, orang ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan dan putus bekalan makanan ketika PKP boleh menghubungi jawatankuasa masjid di kariah masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas