Berita

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad bakal jadi lokasi program singgah KL

JEMAAH mematuhi SOP dan penjarakan fizikal ketika menunaikan solat jumaat di masjid Jamek Sultan Abdul Samad.
- Diterbit 6 Julai 2022 9:55 AM MYT

MASJID tertua di ibu negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini, yang dibina pada 1909, bakal menjadi antara lokasi baharu dalam program lawatan berpandu sehari “Singgah KL” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata program bermatlamat mempromosi seni bina bandar yang diperkenalkan sejak 2017 itu bertujuan merancakkan lagi sektor pelancongan selain memperkenalkan bangunan ikonik di ibu negara kepada orang ramai.

“Selain lokasi masjid ini yang sangat strategik, kita bukan sahaja mahu membangunkan masjid sebagai syiar Islam tetapi juga berfokus untuk menjadi tarikan pelancong terbuka kepada semua bangsa dan agama.

Jadi, kita hendak memperindahkan lagi masjid itu agar ia dapat membentuk satu struktur yang ikonik dari semua aspek termasuk keindahan, kebersihan sistem pencahayaan dan kualiti penyelenggaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Sultan Abdul Samad, di masjid berkenaan di sini hari ini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail.

Galeri Sultan Abdul Samad dilengkapi dengan kemudahan terkini penyampaian maklumat berkaitan sejarah penubuhan, perkembangan dan peranan masjid serta menyediakan informasi dakwah kepada pengunjung terutamanya pelancong bukan Islam dari dalam dan luar negara.

Mahadi berkata Galeri Sultan Abdul Samad siap dibina sepenuhnya pada 2019 oleh DBKL dengan menggunakan pembiayaan yang diperoleh daripada kerajaan pusat, melalui program Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).

“Program NKEA merupakan satu projek konservasi yang turut melibatkan projek menaik taraf bangunan masjid, menambah pencahayaan bangunan, dan juga pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Saya percaya, galeri ini akan menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan ibu negara dikuatkan lagi dengan sempurnanya projek ‘River of Life’ (RoL) di kawasan persekitaran masjid,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas