Biz

Masih awal tentukan impak 2019 nCoV ke atas perdagangan

KIAN MING menunjukkan Laporan Prestasi Perdagangan Malaysia Tahun 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:20 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memantau perkembangan wabak 2019 novel koronavirus (2019 nCoV) dalam negara yang menjadi rakan dagang Malaysia dan mempunyai aktiviti perdagangan dengan China.

Timbalan Menterinya, Dr. Ong Kian Ming berkata, Malaysia tidak perlu bimbang mengenai wabak itu dan masih terlalu awal untuk menganggarkan impaknya ke atas aktiviti perdagangan serta pelaburan.

“Sebab saya fikir terlalu awal untuk menganggarkannya kerana lazimnya aktiviti pembuatan di China semasa tempoh Tahun Baru Cina amat rendah. Kebanyakan kilang ditutup untuk sekurang-kurangnya seminggu atau kadang-kadang lebih se­minggu.

“Namun kita tidak menafikan terdapat gangguan dalam rantaian bekalan di China dan global akibat wabak tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Prestasi perdagangan Malaysia pada 2019 di sini baru-baru ini.

Beliau, pihaknya berharap dalam tempoh dua minggu lagi, kerajaan dapat memberikan lebih banyak kepastian mengenai wabak yang menyerang China itu.

“Kami juga berharap untuk menyaksikan pemulihan, bukan hanya China tetapi juga negara-negara lain yang menjalankan perdagangan atau perniagaan dengan republik berkenaan.

“Kemungkinan seg­men perdaga­ngan dan pengeluaran akan mencatatkan pe­nurunan pada Februari dan Mac tetapi apabila semuanya kembali normal secepat mungkin, kita akan dapat menyaksikan peningkatan semula angka-angka ini pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Dengan mengambil kes wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003 sebagai rujukan, beliau menjangkakan China akan mengalami kelembapan ekonomi pada suku pertama tahun ini.

“Kita tidak tahu tahap kelembapan itu dan disebabkan ke­pentingan China dalam perdagangan global­ dan rantaian nilai eko­nomi pada masa ini, kesannya mungkin lebih besar berbanding SARS,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas