Biz

Zakat bantu bangunkan ekonomi, kebajikan rakyat – Penasihat Ekonomi

MUHAMMED (duduk, tengah) bersama Ahmad Shukri (duduk, dua dari kanan) dan peserta seminar Azka.
- Diterbit 6 Februari 2020 11:12 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menyedari pentingnya institusi zakat dalam pembangunan ekonomi negara dan masyarakat, Akademi Zakat (Azka) Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan program Azka Talk yang menampilkan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid sebagai penceramah.

Seminar sehari itu merupakan inisiatif bagi memperkasakan pengurusan zakat dengan menjalankan pelbagai kajian di samping meningkatkan kerjasama industri antara institusi akademik di dalam mahu pun luar negara.

Terdahulu, Muhammed dalam pembentangannya menyentuh beberapa aspek tentang peranan zakat dalam pembangunan negara, cabaran-cabaran semasa serta peluang yang boleh diambil.

Menerusi tajuk ‘Zakat Pelengkap Instrumen Ekonomi’, Muhammed memberitahu, zakat memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara.

Ujarnya, walaupun isu-isu kemiskinan sudah berkurangan tetapi ia masih perlu dilihat dari sudut dimensi baharu iaitu kemiskinan bandar dan kanak-kanak.

Ini kerana, katanya, kedua-dua dimensi itu merupakan alat penting dalam pertumbuhan ekonomi termasuk kebajikan masyarakat.

Mengulas tentang cabaran pula, beliau menafsirkannya kepada dua perkara iaitu kutipan dan pembahagian atau penyaluran sumbangan.

“Dalam setahun, kita anggarkan 12 peratus kutipan zakat adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi. Ramai orang bayar tetapi tidak ada kesamarataan.

“Negeri kaya banyak ‘surplus’ manakala lima negeri lagi defisit. Surplus tidak boleh bagi pada defisit dan kutipan dari negeri-negeri juga tidak sama,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammed berkata, kutipan zakat juga berbeza dengan pendapatan cukai negara yang mana cukai di Malaysia lebih banyak daripada syarikat atau korporat berbanding individu.

Jelasnya, margin antara pembayar dan jumlah yang diterima bagi kedua-duanya juga sangat besar iaitu kira-kira 70 peratus.

“Kita kutip kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan syarikat yang ada, ia sangat sedikit. Ini bukan hanya pada zakat, negara pun sama.

“Daripada 100 syarikat, hanya 16 peratus yang bayar. Daripada keseluruhan rakyat Malaysia pun sama, lebih kurang 15 peratus yang bayar cukai. Bukan lari tetapi sebab gaji atau pendapatan tidak cukup,” jelasnya.

Mengulas tentang cabaran dalam aspek pembahagian atau penyaluran pula, Muhammed memberitahu, kekangan yang ada adalah dalam mengenal pasti siapa yang layak menerima berikutan perbezaan pada definisi kemiskinan.

Justeru ujarnya, definisi kemiskinan perlu diselaraskan supaya sumbangan dan bantuan dapat disalurkan lebih kepada orang yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program kali ketiga itu diadakan bagi memperjelaskan lagi tentang kepentingan berzakat serta bagaimana ia dapat membantu masyarakat serta pembangunan ekonomi negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas