Berita

Masalah emosi catat kadar tertinggi aduan sepanjang PKP

- Diterbit 19 Mei 2020 2:33 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menerima aduan yang tinggi berkenaan emosi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 8,380 panggilan telefon yang diterima pihaknya setakat semalam, 46.8 peratus berkaitan masalah emosi.

“Pengadu melahirkan rasa bimbang dan marah disebabkan pelbagai faktor seperti masalah pendapatan dan kewangan serta perselisihan dengan keluarga.

“Kebimbangan mengenai wabak Covid-19 hanya menyumbang 20 peratus. Kita perlu memberi kaunseling untuk mereka mendapat maklumat terkini kerana ada yang bimbang akibat maklumat tidak tepat.

“KKM akan melihat langkah mempertingkatkan bantuan kaunseling melalui panggilan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara masalah lain dilaporkan berkaitan keperluan asam dan masalah keganasan rumah tangga serta perhubungan.

“Keperluan asas menyumbangkan 6.9 peratus, sementara masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan pula enam peratus.

“Masalah psikiatri iaitu kemurungan dan keresahan, menyumbang 2.4 peratus manakala penderaan kanak-kanak pula 0.2 peratus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas