Berita

COVID-19: 276 kluster dikesan, 125 tamat – Dr Adham Baba

- Diterbit 10 November 2020 4:34 AM MYT

SEBANYAK 276 kluster dikesan di negara ini setakat ini sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini akhir tahun lepas dengan 151 daripadanya masih aktif, manakala 125 telah tamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata daripada 151 jumlah kluster, Kluster Kediaman merekodkan kluster terbanyak dengan 64 kluster.

“…diikuti dengan Kluster Tempat Kerja iaitu 63 kluster; Kluster Pusat Tahanan (sembilan); Kluster Kumpulan Berisiko (anggota kesihatan dan warga emas – sembilan kluster); Kluster Keagamaan (selain kluster Tabligh Seri Petaling – tiga kluster) dan Kluster Import (tiga kluster),” katanya dalam satu jawapan bertulis pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta menteri kesihatan menyatakan bilangan kluster yang menyebarkan pandemik COVID-19 di negara ini dan bilangan yang telah dikawal sepenuhnya serta bilangan yang masih aktif terkini.

Dr Adham berkata kluster terbesar yang pernah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah Kluster Tabligh Sri Petaling.

Kluster itu katanya melibatkan 3,375 kes dan seramai 42,023 orang telah disaring.

“Kes pertama bagi kluster itu adalah pada 11 Mac dan kluster diisytihar tamat pada 8 Julai. Kes-kes indeks merupakan individu-individu yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Masjid Sri Petaling dan punca jangkitan adalah dipercayai dari jangkitan import dari Indonesia,” katanya.

Sehingga semalam, 972 kes baharu lagi direkodkan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini mencatat 11,308 kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas