Agama

Martabat Islam melalui Agenda Rahmatan Lil Alamin

||
- Diterbit 12 Disember 2019 6:59 AM MYT

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk menghadiri Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak Dan Sivil Ke – 26 yang diadakan pada 4 hingga 6 November 2019 di hotel di Shah Alam, Selangor.

Persidangan tersebut telah dihadiri wakil-wakil setiap negeri yang terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syariah. Persidangan tersebut bagi menyelaraskan peraturan dan undang-undang berkaitan agama Islam.

Struktur agama Islam di Malaysia yang unik menjadikan persidangan ini amat penting, antara lain bagi memastikan semua undang-undang berkaitan Islam seragam dan mempunyai tanda aras yang sama. Persidangan ini dibuat di bawah kelolaan JAKIM selaku urusetia.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kandungan ucapan yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang telah membawa tema Rahmatan Lil Alamin.

Menurutnya, kabinet telah bersetuju untuk menjadikan agenda itu sebagai dasar negara dan pelancarannya akan dibuat Perdana Menteri pada tahun hadapan.

Agenda Rahmatan Lil Alamin adalah satu agenda yang bukan sahaja menepati kehendak rakyat Malaysia bahkan ia bertepatan dengan sebab Rasulullah SAW diutus.

Bukan setakat itu, agenda ini telah menarik minat masyarakat antarabangsa apabila menteri sendiri dijemput untuk berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan di Universiti Cambridge.

Ini menunjukkan minat masyarakat antarabangsa untuk memahami Islam secara lebih menyeluruh dan masyarakat Malaysia amat beruntung kerana agenda ini telah dijadikan dasar negara.

Tambahan lagi, agenda Rahmatan Lil Alamin ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG)) yang digunapakai di seluruh dunia.

Terdapat 17 teras utama dalam program SDG dan yang paling relevan adalah teras ke-6 iaitu untuk mempromosikan keamanan, akses kepada keadilan dengan membina institusi yang mantap di setiap peringkat.

Keadilan adalah suatu konsep yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Apabila menyebut tentang keadilan maka Mahkamah Syariah menjadi institusi penting untuk mewujudkan keadilan kepada masyarakat.

Antara aduan yang dibuat adalah mengenai kelambatan untuk menyelesaikan kes dan kadang-kala wanita seolah-olah ‘digantung tidak bertali’ oleh suami mereka. Selain itu, kaum wanita juga mengadu mengenai masalah menguatkuasakan perintah nafkah yang diterima.

Maka, dengan hala tuju yang jelas terhadap agenda Rahmatan Lil Alamin, seharusnya semua warga Mahkamah Syariah mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan nikmat rahmat ini dapat dirasai.

Agenda Rahmatan Lil Alamin ini sepertimana yang dijelaskan menteri adalah berteraskan maqasid (objektif) sesuatu tindakan yang dibuat selari dengan konsep ma’alatul ‘af’al (kesan terhadap sesuatu perkara).

Misalnya ramai orang yang menganggap tindakan seseorang wanita memohon perceraian adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan Islam dan menganggap seseorang yang memohon perceraian mengundang kemarahan Allah.

Namun, sebagai sebuah institusi agama sepatutnya aduan seseorang wanita itu ditangani dengan cepat dan berhemah. Mahkamah Syariah perlu menyelesaikan isu rumah tangga yang dialami termasuklah terhadap anak-anak yang mungkin terkesan dengan masalah itu.

Sewaktu pasukan kami membuat kajian untuk memperkenalkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) kira-kira dua tahun lepas, saya telah menerima aduan daripada ramai wanita mengenai kelambatan proses penyelesaian kes di Mahkamah Syariah.

Selanjutnya pasukan kami juga telah membuat sesi ‘engagement’ dengan pegawai-pegawai di Mahkamah Syariah dan kami mendapati bahawa sebenarnya Mahkamah Syariah telah banyak memberi bantuan dan memperkenalkan SOP yang dapat mengurangkan tempoh penyelesaian kes.

Kami dapati wujud jurang komunikasi antara maklumat di Mahkamah Syariah dan kaum wanita yang membuat tuntutan kes. Kebanyakan mereka tidak memahami proses dan prosedur yang wujud.

Dr. Zulqarnain Lukman adalah peguambela, peguamcara dan peguam syarie

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas