Artikel

Perubahan 40 tahun sebuah jalan

JALAN Tun Razak. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2019 7:04 AM MYT

Setiap hari penulis mengingati diri supaya jangan menggunakan Jalan Tun Razak. Ini kerana di jalan itu, buat masa ini sering kali berlaku kesesakan yang teruk hingga ke peringkat tidak bergerak langsung.

Terutamanya di bahagian selatan. Suatu kerja-kerja pembinaan sedang dibuat di penghujung jalan itu, iaitu di bahagian selatan di mana terletaknya bulatan persimpangan ke Kampung Pandan dan ke arah selatan.

Pada waktu puncak, kesesakannya boleh sampai ke bulatan Jalan Pahang. Gunakanlah jalan itu hanya apabila terpaksa.

Pembinaan itu melibatkan kawasan komersial The Razak Exchange (TRX) dan laluan kedua Transit Aliran Deras (MRT). Keadaan di sini begitu serabut sekali dan merupakan antara tempat di Kuala Lumpur yang tidak mesra kenderaan dan pemandangan persekitaran.

Jalan Tun Razak dikira bermula dari simpang Jalan Sultan Azlan Shah (dahulunya adalah sebahagian Jalan Ipoh) sehinggalah bulatan ke Kampung Pandan.

Pada tahun 1970-an, ia bernama Jalan Pekeliling. Sebelum kemerdekaan ia bernama Circular Road. Ini kerana jalan ini mengelilingi kota Kuala Lumpur. Istilah sekarang disebut sebagai Middle Ring Road 1 atau Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR1).

Di Lembah Klang terdapat tiga lingkaran iaitu Inner Ring Rod (IIR), Jalan Lingkaran Tengah (MRR) dan Jalan Lingkaran Luar (ORR) yang melingkari Kuala Lumpur. MRR ada dua iaitu MRR1 dan MRR2.

Jalan Tun Razak mempunyai mercu-mercu tanda penting negara. Kalau menuju ke selatan seseorang akan melihat di sebelah kiri Istana Budaya, Balai Seni Negara, Tabung Darah Negara, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Wisma Sejarah, Perpustakaan Negara, The Intermark, Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Kedutaan Besar Republik Iraq, Rumah Temasek dan Kelab Diraja Golf Selangor (SGRC) antara lain.

Sebelah kanan pula ialah Hospital Kuala Lumpur, Institut Jantung Negara (IJN), Wisma Perkeso, Tabung Haji, Bangunan PNB, Kedutaan Besar Jepun, Kedutaan Besar Republik Singapura, Istana Terengganu, Kedutaan Besar Kuwait dan Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Adalah dapat dibayangkan bahawa sebelum Circular Road ini dibina, beberapa jalan utama Kuala Lumpur tidak dihubungkan di antara satu sama lain.

Jalan-jalan itu ialah Jalan Ipoh, Jalan Pahang, Princes Road, Jalan Ampang dan Jalan Bukit Bintang. Circular Road menghubungi jalan-jalan penting ini.

Kini bahagian Jalan Ipoh yang menghubungi Jalan Tuanku Abdul Rahman (nama lamanya ialah Batu Road) bernama Jalan Sultan Azlan Shah. Selepas merdeka, Princes Road bernama Jalan Raja Muda, dan kini dinamakan sebagai Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Pada tahun 1970-an, landskap Jalan Tun Razak adalah berbeza daripada apa yang ada pada hari ini. Tetapi ia tetap merupakan jalan penting.

Pada masa itu tidak ada jejambat dan laluan bawah jalan lagi. Jalan ulang alik hanya satu lorong. Jejambat menghubungi Jalan Tun Razak dengan Lebuhraya Sultan Iskandar (dahulu bernama Lebuhraya Mahameru) belum ada. Begitu juga jejambat di atas bulatan Jalan Pahang.

Apatah lagi jejambat yang menghubungi Jalan Tun Razak ke Damansara Ulu Klang Expressway ( DUKE) belum terfikir oleh sesiapa ketika itu.

Begitu juga dengan jejambat dari persimpangan Jalan Ampang ke depan Perpustakaan Negara yang menghubungkan Ampang Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) belum ada. Terowong di bawah Jalan Ampang dan Jalan Bukit Bintang juga belum ada. Suasana Jalan Tun Razak masih tenang tetapi lalu lintas semakin bertambah.

Pada tahun 1970-an, dari utara jalan itu, Terdapat Stesen Bas Pekeliling. Ia merupakan perhentian bas dan teksi iaitu Bentong, Karak dan Temerloh dan Genting Highlands juga berada di sini.

Tetapi mercu tanda paling besar di situ ialah Flat Pekeliling atau nama rasminya Tunku Abdul Rahman Flats. Ia merupakan kediaman awam untuk warga Kuala lumpur berpendapatan rendah. Terdapat tujuh blok di kiri dan kanan Jalan Pekeliling.

Di dalam kawasannya juga terdapat pasar, kedai-kedai kecil, gerai, masjid dan tokong. Hampir semua bangunan itu kini telah dirobohkan.

Pada masa itu Istana Budaya dan Balai Seni belum didirikan. Istana Budaya ketika itu berbentuk Panggung Negara yang terletak di kawasan Lake Gardens. Balai Seni Lukis Negara pula berada di Jalan Ampang.

Kawasan paling penting bagi orang ramai ialah hospital yang ketika itu bernama General Hospital Kuala Lumpur atau Hospital Besar Kuala Lumpur.

Berdepan Jalan Pekeliling adalah Bangunan Hospital Bersalin yang kini sudah tidak digunakan.

Pada tahun1970-an, Tabung Darah Negara, Pusrawi, Wisma Sejarah dan Perpustakaan Negara tidak dibina lagi. Di kawasan itu kesemuanya terdapat banglo-banglo kerajaan yang dijadikan kuarters atau pejabat.

Perpustakaan Negara pada masa itu menyewa di dua tingkat Bangunan UMBC di kawasan Jalan Kampung Attap, ketika itu ia adalah bangunan tertinggi di Kuala Lumpur. Kini ia adalah Menara Takaful Malaysia. Wisma Bernama yang bersebelahan dengan Perpustakaan Negara juga belum wujud.

Apabila sampai di simpang Jalan Raja Muda Aziz, bangunan yag ada ialah rumah kedai bertingkat yang orang panggil San Peng Flat.

Menuju ke selatan, iaitu di simpang Jalan Ampang, terdapat pusat membeli-belah Ampang Park. Ia merupakan kompleks membeli belah pertama Kuala Lumpur.

Di seberang jalan pada Ampang Park di bahagian Jalan Tun Razak, terdapat sebuah balai polis yang kini masih wujud.

Di seberang Jalan Ampang di depannya ialah sebuah banglo yang berhalaman luas dengan adanya pokok manggis. Banglo itu adalah Lincoln Cultural Center, pusat kebudayaan Amerika Syarikat.

Tetapi ketika itu Kedutaan Besar Amerika Syarikat belum dibina di Jalan Tun Razak. Kedutaan mereka terletak dalam AIA Building di Jalan Ampang.

Tidak jauh dari Lincoln Cultural Center, melalui sebuah jalan kecil terdapat banglo yang menempatkan Soviet Cultural Centre, atau pusat kebudayaan Soviet. Kini pusat itu bukan saja tiada, tetapi Soviet Union pun sudah tiada.

Pada masa itu, Menara PNB dan bangunan Tabung Haji belum didirikan. Pejabat utama Tabung Haji terletak di Jalan ipoh. Perbadanan Nasional Berhad pula belum ditubuhkan.

Ke arah selatan ialah Jalan U Thant yang merupakan kawasan kedutaan dan kediaman duta. U Thant berasal dari Burma (kini Myanmar) Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ketiga.

Di Jalan Tun Razak itu terdapat rumah besar menempatkan Goethe Institut, pusat kebudayaan Jerman Barat. Usaha untuk menjadikan Jalan Pekeliling sebagai salah jalan satu mercu tanda bagi Kuala Lumpur bermula pada tahun 1974.

Pemilik hartanah dan pelabur digalakkan membina pusat aktiviti komersial di jalan itu. Dari galakan itu terdirilah Yow Chuan Plaza yang kemudiannya dihubungi dengan Ampang Park.

Plaza yang ditampilkan sebagai penjual barangan mewah kemudian digantikan dengan City Square dan akhirnya menjadi The Intermark. Ampang Park pun sudah dirobohkan untuk memberi laluan pada stesen MRT.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas