Artikel

Anak-anak Putrajaya lesu, kurang zat?

BANGUNAN Perdana Putra. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2019 6:53 AM MYT

PUTRAJAYA, sebuah bandar pintar terancang yang bertaraf dunia. Tidak dinafikan seni binanya yang unik, pelbagai dan menarik di samping keindahan taman-taman hijau serta ‘wetland’. Ciri keselamatannya pula dilengkapi teknologi canggih yang dikenali Putrajaya Comand Centre (PCC).

Namun, adakah kesemua itu mencerminkan penduduknya yang kebanyakan adalah kakitangan kerajaan?

Melewati sahaja bandar rasmi kerajaan ini, pasti ramai tidak menyangka, terdapat kanak-kanak yang terbiar dan kekurangan zat.

Lebih mengejutkan apabila ada antara mereka yang kekurangan zat dan terbiar itu merupakan anak-anak pegawai kerajaan dan bukan daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Mungkin kalau mengaitkan bentuk fizikal kanak-kanak, akan ada penafian berbunyi ‘keturunannya kurus dan kecil’ tetapi apabila dikaitkan dengan keadaan semasa kanak-kanak yang kelihatan letih dan lesu pastinya tiada siapa yang mampu mengungkapkan sebarang kata-kata.

Ini kerana, keadaan kanak-kanak yang lesu itu membuktikan mereka kekurangan zat yang sepatutnya.

Mana tidaknya, ada laporan yang mengatakan pukul 6 petang, mereka masih lagi berada di sekolah kerana ibu atau bapanya terlupa ambil.

Ada pula yang tidak diberikan duit belanja sekolah malah si penjaga tidak pula menyediakan sarapan pagi atau bekal untuk dibawa ke sekolah.

Bagi yang terbiar pula, sudah pasti­nya tidak menerima apa-apa zat termasuk zat kasih sayang. Mereka ini jugalah yang cenderong mencuri roti di kedai-kedai serbaneka atau kedai runcit kerana kelaparan.

Si tauke yang tidak mengetahui apa-apa, mudah sahaja memarahi dan memukul tetapi hakikatnya… mereka terbiar.

Bagaimanapun, masalah-masalah ter­sebut bukan hanya membelenggu kanak-kanak atau mereka yang berada di sekolah rendah sebaliknya turut dikesan dalam ka­langan remaja dan pelajar di tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Menurut laporan daripada badan-badan kesihatan juga, jumlah kanak-kanak dan golongan remaja yang mengalami demam juga tinggi di Putrajaya.

Bayangkan, bandar pintar ini hanya mempunyai 20 buah sekolah sahaja tetapi bilangan yang demam dan kekurangan nutrisi pula beribu.

Difahamkan, terdapat juga rumah-rumah yang diduduki berada dalam keadaan kotor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas