Artikel

Manifestasi keprihatinan kementerian & kerajaan

- Diterbit 19 November 2021 3:25 AM MYT

ANTARA pencapaian AKM 100 Hari KPT ialah Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, sehingga hari ini telah mengagihkan sebanyak 382, 259 baucar makanan kepada kumpulan sasaran.

Bagi pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS pula, sebanyak 86 peratus atau 1,086,469 orang telah menerima vaksinasi lengkap.

Pecahannya ialah 84 peratus atau 959,917 pelajar daripada 1.15 juta 1,137,781 pelajar IPT telah menerima dos lengkap secara keseluruhannya. Manakala bagi staf akademik dan bukan akademik pendidikan tinggi, adalah sebanyak 96 peratus atau 120,187 126,552 orang telah menerima vaksinasi lengkap.

Dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pihak CITF yang membenarkan vaksinasi secara walk-in. Kita menjangkakan pada 7 Disember 2021, kesemua 100 peratus warga pendidikan tinggi lengkap divaksin.

Untuk AKM yang ketiga, iaitu pembekalan kit ujian RTK kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS pula, sebanyak 1,169,728 unit kit telah berjaya dibekalkan kepada IPT. Manakala baki daripada kit ujian RTK ini akan dapat diedarkan selewat-lewatnya pada akhir bulan ini.

Dan akhir sekali, bagi penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT, seramai 13,231 pelajar warganegara Malaysia telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan.

Sesungguhnya, semua inisiatif yang dinyatakan ini merupakan manifestasi keprihatinan Kementerian dan juga Kerajaan terhadap kebajikan para pelajar secara khusus, dan kesejahteraan Keluarga Malaysia secara umumnya.

Seperti kata-kata Mark Twain, seorang penulis Amerika, yang juga merupakan seorang usahawan, penerbit dan juga pensyarah, “Cabaran membuatkan hidup kita menarik, tetapi, mengatasi cabaran itu menjadikan hidup kita lebih bermakna.”

Jadinya, bagi KPT, cabaran yang dihadapi dalam menjayakan aspirasi ini ialah peluang dan juga ruang untuk KPT menambah baik sistem yang ada.

Misalnya, dalam memastikan keberkesanan Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia, proses untuk mengenal pasti pelajar B40 yang betul-betul memerlukan bantuan tersebut merupakan kunci utama bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Dalam hubungan ini, semua universiti awam perlu memastikan data pelajar yang ada dikemas kini secara telus, pantas dan tepat. Begitu juga untuk Program VACC2CAMPUS. Kejituan data warga IPT yang masih belum divaksinasi dari aplikasi MySejahtera adalah penting supaya matlamat untuk mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan komuniti kampus dapat dicapai dengan jayanya.

Ini memerlukan pihak KPT bekerja secara rapat dengan pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPT mendapat kerjasama yang amat baik daripada kedua-dua pihak ini. Manakala, bagi pelaksanaan Program GETHIRED@KPT pula, untuk menganjurkan program secara bersemuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh pihak Kementerian.

Walau bagaimanapun, dengan kebanyakan negeri telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, diharapkan program ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan
berkesan.

Keempat-empat aspirasi yang KPT gariskan merupakan manifestasi yang melengkapkan Aspirasi Keluarga Malaysia. Ia telah disesuaikan dengan slogan #KPTPrihatin yang menjadi hikmat utama Kementerian ini. KPT percaya bahawa sebelum kita melangkah ke fasa endemik, kesihatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan tinggi di negara ini perlu diutamakan dan harus dipastikan di tahap yang terbaik.

Dengan adanya bantuan-bantuan berbentuk nyata seperti pemberian baucar makanan, penerimaan vaksin, pembekalan kit RTK sebagai langkah awal mencegah penularan pendemik COVID-19 dan penyediaan peluang penawaran pekerjaan
serta penjanaan pendapatan graduan, KPT berharap kumpulan sasaran berasa lebih selamat dan terjaga terutamanya dari aspek kebajikan dan keselamatan.

Sudah tentu menjadi harapan KPT agar semua pihak mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada inisiatif yang diketengahkan ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan di sini bahawa ia adalah permulaan yang baik untuk IPT, khususnya dalam menyantuni transisi ke fasa endemik. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas