Artikel

Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari

- Diterbit 19 November 2021 3:16 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan sebanyak empat AKM 100 Hari yang perlu dicapai dalam tempoh seratus hari, iaitu bermula pada 1 September 2021 yang lepas.

Empat Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari yang dimaksudkan ialah Pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia; Pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS; Pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS; dan Penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.

Jika kita rujuk kepada enam teras utama AKM 100 Hari Jemaah Menteri yang telah ditetapkan awal oleh pihak urus setia, iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri, AKM yang diketengahkan oleh KPT ini merupakan titik sentuh (touch point) yang dikehendaki dan diharapkan oleh rakyat di bawah Teras Ketiga, iaitu Meningkatkan Kesejahteraan Sosial. Dalam hubungan ini, KPT menggunakan strategi Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin, yang mana pendekatan ini sangat signifikan dengan tiga Prinsip Keluarga Malaysia, iaitu Peka Dengan Keperluan Semasa; Bertanggungjawab Dan Amanah; dan Mengembalikan Semula Keyakinan Rakyat.

Pemilihan keempat-empat AKM ini adalah berdasarkan kepada tiga kriteria, iaitu perlu sejajar dengan dasar semasa, berimpak tinggi dan boleh diukur.

Dari segi penjajaran kepada dasar-dasar semasa Kerajaan, sudah tentu di akhirnya nanti AKM ini menyumbang, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030; Rancangan Malaysia Ke-12; dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi). Malah, AKM yang digariskan juga dilihat sebagai menyokong usaha Kerajaan dalam menjayakan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Melihat kepada kriteria yang kedua pula, AKM yang dicadangkan adalah berimpak tinggi serta memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Berimpak tinggi yang dimaksudkan adalah dari aspek skala sasaran penerima manfaat yang besar, meliputi bukan sahaja pelajar dan staf IPT yang berjumlah lebih daripada satu juta orang, tetapi secara tidak langsung limpahan manfaat ini turut dirasai oleh keluarga mereka juga.

Dan kriteria yang ketiga, sudah tentu AKM yang dipilih boleh diukur pencapaiannya. Ini penting bukan sahaja untuk pelaporan, tetapi juga untuk melihat keberhasilan sasaran yang ditetapkan.

Selain daripada kriteria-kriteria ini, KPT juga turut mengambil kira aspek sumber kewangan. Dalam hubungan ini, KPT menekankan agar inisiatif AKM 100 Hari bagi KPT tidak memerlukan peruntukan tambahan Kerajaan, tetapi menggunakan peruntukan sedia ada hasil daripada penjimatan dalaman.

Empat AKM 100 Hari tersebut adalah seperti:

I. Pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia

AKM yang pertama ialah pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia kepada pelajar B40 secara bersasar. Secara prinsipnya, pemberian baucar makanan ini adalah atas keprihatinan pihak KPT terhadap beban kos sara hidup yang dihadapi pelajar dan keluarga, khususnya akibat daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara.

KPT menganggarkan sebanyak 443,760 baucar makanan dapat disediakan dengan nilai sebanyak RM15.00 bagi setiap baucar.

Program yang mula dilaksanakan pada 18 Oktober 2021 ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.6juta ringgit. KPT menjangkakan kira-kira 88,752 orang pelajar B40 bersasar, yang telah dikenal pasti oleh universiti awam masing-masing, bakal menerima manfaat inisiatif ini. Terdapat dua kaedah pelaksanaan.

Pertamanya, baucar digital di lima universiti, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM); Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS); dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Proses penebusan baucar adalah menggunakan peranti pengimbas kod QR.

Manakala, 15 universiti yang lain menggunakan baucar tunai, yang mana wang dimasukkan ke dalam akaun pelajar untuk kegunaan pembelian makanan. Baucar makanan ini boleh ditebus di kafeteria kampus masing-masing.

II. Pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS

AKM kedua ialah pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS. Program ini bertujuan untuk membentuk komuniti kampus yang selamat selaras dengan pembukaan kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober 2021 yang lalu.

KPT mensasarkan 100 peratus warga IPT (yang terdiri daripada pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik), yang berdaftar dalam MySejahtera dan boleh divaksin menerima vaksinasi lengkap. Secara keseluruhannya warga IPT adalah berjumlah seramai 1,276,267 orang.

III. Pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS

Seterusnya, AKM ketiga, iaitu pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS. Program ini adalah antara langkah KPT dalam memastikan keselamatan warga kampus terpelihara selain mencegah penularan wabak COVID-19.

Pembekalan RTK ini melibatkan pelajar sedia ada, pelajar baharu dan juga bagi maksud intervensi kepada pelajar luar kampus yang berulang-alik serta pelajar yang menunjukkan gejala. Sebanyak 1.16 juta unit RTK akan dibekalkan melibatkan kos peruntukan sebanyak RM17.5 juta.

IV. Penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT

Dan akhir sekali, AKM keempat, iaitu penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.

Melalui AKM ini, KPT mensasarkan sekurang-kurangnya 13,000 pelajar warganegara Malaysia mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan dalam tempoh tiga bulan, iaitu September hingga November 2021. –WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas