Berita

Mangsa kebakaran terima bantuan rumah transit – DBKL

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menyantuni mangsa kebakaran perumahan awam Setapak Jaya yang ditempatkan secara sementara di Dewan Persatuan Penduduk Setapak Jaya 1A. Kredit foto: Facebook DBKL
- Diterbit 17 Januari 2022 4:49 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan rumah transit yang dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik kepada dua keluarga yang terlibat dalam kebakaran di perumahan awam di Setapak Jaya di sini semalam, selewat-lewatnya esok.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata buat masa ini kesemua mangsa ditempatkan secara sementara di Dewan Persatuan Penduduk Setapak Jaya 1A.

“Saya telah hadir ke lokasi kebakaran dan berjumpa dengan mangsa yang terlibat. Rumah transit itu akan disediakan di lokasi yang berhampiran dengan kediaman sedia ada bagi memudahkan keluarga yang terlibat untuk hadir ke tempat kerja dan ke sekolah.

“Selain itu, DBKL juga memberikan sumbangan RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mahadi insiden yang menimpa dua keluarga berkenaan juga telah dilaporkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Beliau (Shahidan) meminta DBKL untuk mengambil tindakan segera terhadap insiden ini dan memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Petang semalam tiga unit kediaman di tingkat empat di Perumahan Awam Setapak Jaya 1A di sini, musnah dalam kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas