Berita

Kelas pemasaran digital luaskan strategi perniagaan UAMK

KELAS pemasaran digital membabitkan penyertaan seramai 50 orang peserta dalam kalangan peniaga di Bazar Kreatif dan secara atas talian.
- Diterbit 16 Januari 2022 9:00 AM MYT

MUTAKHIR ini, penggunaan perniagaan atas talian (online) melalui laman media sosial, Instagram, Facebook, Twitter dan Tiktok semakin menunjukkan peningkatan dari segi penguasaan kebergantungan kepada ekonomi digital dalam mempromosikan jualan kepada orang ramai
selaras dengan perubahan era pemodenan.

Peningkatan secara mendadak ini mendorong usahawan mempelajari dan menyusun semula strategi mengikut norma baharu dengan menceburi perniagaan online selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Mahu usahawan memaksimumkan penggunaan media sosial dalam perniagaan, iQP Solutions tampil mengadakan kelas pemasaran digital secara percuma buat Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur selama empat hari bermula 7 Januari sehingga 10 Januari lalu.

ZULHAZRI AZMI

Menekankan aspek pendedahan teori dan praktikal secara optimum kepada usahawan terlibat, Ketua Pegawai Eksekutif iQP Solutions yang juga merupakan Fasilitator Pembelajaran Professional syarikat itu, Zulhazri Azmi berkata, program tersebut telah berjaya memupuk minat dan meluaskan pengetahuan peniaga tentang kepentingan penggunaan platform tersebut.

“Rata-rata mereka yang datang ke kelas itu mengetahui tentang kepentingan media sosial tetapi mereka gagal mengoptimumkan penggunaan platform tersebut.

“Pengisian selama empat hari itu bukan sahaja berjaya buat mereka faham kepentingan tersebut tetapi juga mengetahui bagaimana cara untuk memaksimumkan kelebihan platform tersebut,” katanya yang juga tenaga pengajar utama kelas itu.

Menurut Zulhazri, Program Perintis Kelas Asas Digital Marketing melalui usahawan Kota Training Centre membabitkan penyertaan seramai 50 orang peserta dalam kalangan peniaga di Bazar Kreatif tersebut dan secara atas talian melalui aplikasi Zoom.

Katanya, pengisian kelas empat hari itu menumpukan kepada teknik penguasaan penggunaan Facebook, Instagram, WhatsApp Warrior, Funnel Marketing, Copywriting, membina grafik serta cara menghasilkan duit melalui perniagaan Shopee dan Lazada.

ZULHAZRI Azmi berkongsi strategi pemasaran digital kepada peserta yang hadir secara bersemuka dan atas talian melalui aplikasi Zoom. 

Bagi memastikan tiada usahawan anak muda terlepas peluang mempelajari teknik tersebut, pihaknya turut memuat naik rakaman setiap kelas yang diadakan di dalam Group WhatsApp usahawan Bazar Kreatif itu.

“Saya berharap agar program ini dapat membantu lebih ramai usahawan terutamanya golongan
peniaga asnaf atau kurang upaya (OKU) di samping melengkapkan mereka dengan ilmu dan strategi yang betul bagi mengharungi cabaran perniagaan atas talian.

“Dalam masa yang sama, saya juga mengambil kesempatan menasihatkan para usahawan mengelakkan penggunaan strategi penipuan dalam perniagaan online khususnya dari segi harga, stok, kualiti produk dan sistem penghantaran (shipping), “ jelasnya yang mempunyai pengalaman luas membimbing usahawan dalam pemasaran digital.

PESERTA yang terlibat dalam kelas tersebut merupakan peniaga di Bazar Kreatif usahawan Anak Muda Kota Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau turut berkongsi satu konvensyen Digital Marketing 2022 siri 1 akan dianjurkan bagi mempersiapkan usahawan di luar sana dengan ilmu pemasaran digital yang akan menampilkan sembilan orang master trainer dan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah.

Ujarnya, topik sepanjang konvensyen merangkumi aspek teknik Digital Marketing seperti iklan Facebook, memaksimumkan penggunaan Google dalam perniagaan, Tiktok, Shopee, WhatsApp penulisan Copywriting termasuk juga cara menghasilkan Jualan, menggunakan database yang mana ia dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan di tahun 2022 ini.

“Maklumat lanjut mengenai konvensyen dan pembelian tiket boleh melayari laman web https:// usahawankota.com/konvensyen,” kongsinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas