Berita

Stor Rumah Anak Yatim Mary terbakar 80 peratus

KEADAAN stor yang terbakar 80 peratus di Rumah Anak Yatim Mary. Kredit foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur
- Diterbit 17 Januari 2022 5:15 AM MYT

SEBUAH stor simpanan barang di Rumah Anak Yatim Mary, Jalan Air Mawar 1, Taman Air Panas, Setapak musnah 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PGOKL) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1:30 pagi dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Daniel Ahmad Kamal, seramai 26 orang anggota bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera water tanker dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBp Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan stor simpanan barang di belakang asrama anak yatim berkenaan yang juga banglo dua tingkat jenis kekal,” ujarnya.

Sementara itu, menurut penjaga rumah tersebut, kesemua penghuni telah dikeluarkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Jumlah penghuni yang terlibat adalah 12 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan, dua lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa,” tambahnya.

Jelas Ahmad Daniel, kebakaran tersebut melibatkan 80 peratus kemusnahan di bahagian stor simpanan yang berkeluasan 80×80 kaki persegi.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2:21 pagi dan api padam sepenuhnya pada 3:31 pagi sebelum operasi tamat pada pukul 5:48 pagi tadi.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas