Berita

Mangsa banjir di enam negeri menurun

- Diterbit 27 Disember 2023 9:52 PM MYT

JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri terjejas menurun kepada 25,329 orang setakat jam 5.49 petang ini berbanding 28,310 orang pada jam 6 pagi tadi membabitkan 146 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dipindahkan melibatkan seramai 17,904 orang membabitkan 5,734 keluarga dan ditempatkan di 64 PPS.

Selain itu Terengganu juga masih kekal dengan angka tertinggi iaitu 7,026 mangsa membabitkan 1,967 keluarga di 71 PPS melibatkan daerah Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman, Besut, Marang dan Kuala Nerus.

Selain itu, tiga negeri iaitu Sabah, Johor dan Pahang, masing-masing mencatat angka mangsa banjir di bawah 200 orang iaitu Sabah, 173 mangsa ditempatkan di tiga PPS (Beluran, Sabah, Sandakan), Pahang membabitkan 114 mangsa di tiga PPS ( Lipis, Kuantan, Jerantut) dan Johor seramai 108 orang di tiga PPS iaitu di Mersing dan Segamat.

Selangor pula hanya melibatkan seramai empat orang dan ditempatkan di satu PPS dibuka iaitu di Kuala Langat.

Sementara itu, Info Bencana JKM memaklumkan Pahang dan Terengganu membuka satu PPS membabitkan kejadian tanah runtuh iaitu di Cameron Highlands, Pahang dengan 87 mangsa dipindahkan, manakala enam mangsa dipindahkan ke PPS Kuala Nerus, Terengganu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku sehingga keesokan hari di beberapa negeri iaitu Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Johor Bahru). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas