Berita

Seramai 801 anggota polis, RELA bantu mangsa banjir

- Diterbit 27 Disember 2023 9:47 PM MYT

SEBANYAK 647 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 154 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah diatur gerak ke kawasan banjir di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, sebanyak 35 buah bot, 29 buah lori, dan 56 kenderaan pacuan empat roda turut diatur ke kawasan terjejas dan akan ditambah berdasarkan situasi bencana.

“Pihak KDN ingin menasihatkan kepada seluruh rakyat yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas