Artikel

Fazilla galas tanggungjawab besar

FAZILLA bersama pemain skuad Malaysia Tigress.
FAZILLA bersama pemain skuad Malaysia Tigress.
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:05 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

SUNGGUHPUN berkhid­mat sebagai Pegawai Bomba namun ia tidak pernah menjadi halangan buat pemain hoki kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin, 32, untuk memberi persembahan terbaik buat skuad hoki wanita negara.

Mula berkhidmat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Putrajaya pada 2017, dia tidak pernah terfikir untuk mengundur diri daripada sukan yang amat diminatinya itu. Malah, sanggup bertahan biarpun berhadapan dengan kekangan masa.

Bersyukur kerana diberi kelonggaran waktu bekerja oleh pihak jaba­tan untuk mengikuti sesi latihan pada waktu pagi dan petang, atlet kelahiran Mukah, Sarawak ini cukup berterima kasih ke­pada pihak majikannya.

“Saya menjalani sesi latihan bermula pukul 7 hingga 9 pagi dan bersambung pada pukul 3 hingga 5 petang. Sementara waktu untuk menjalankan tugas seperti biasa di pejabat pula pada pukul 10 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Kata pemain skuad Malaysia Tigress ini lagi, tanpa bantuan tersebut tidak mungkin dia mampu menggalas dua tanggungjawab yang berat itu sekali gus. Selain itu, perasaan minat yang mendalam terhadap sukan hoki itu sendiri membuatkannya lupa terhadap penat lelah yang ditempuhi.

Mula terlibat dalam sukan hoki sejak berada di tingkatan satu, anak keempat daripada enam orang adik-beradik ini berkata, sokongan positif daripada keluarga dan kenalan rapat membuatkannya bersemangat hingga ke hari ini.

Berkongsi keadaan yang paling sukar, katanya memenuhi sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang dikehendaki oleh jurulatih adalah cabaran utama yang pelu dilaksanakan selain mengekalkan prestasi terbaik sepanjang latihan dan kejohanan penting.

“Apabila seseorang atlet mengalami penurunan dalam prestasi maka mereka akan berasa sukar dan tertekan. Untuk menaikkannya semula bukan mudah,” ujarnya yang menjadikan bekas pemain hoki Belanda, Maartje Pauman sebagai idolanya.

Ingin menjadi pemain yang versatil dalam kalangan pemain hoki wanita dunia, skor tertinggi yang berjaya dilakukannya setakat ini adalah ketika siri akhir per­lawanan hoki 2019 yang berlangsung di Ireland dengan tiga kali jaringan gol.

“Kenangan manis adalah ketika berjaya mengalahkan pasukan Itali yang mana ketika itu, saya berjaya memasuki peringkat akhir Kejohanan Liga Dunia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2017,” ujarnya.

Olimpik Tokyo 2020

Menyentuh tentang persiapan sukan yang paling hampir, dia dan pasukannya kini masih menanti sama ada Malaysia layak ataupun tidak ke pusingan kelayakan akhir untuk mencari slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Pusingan kelayakan akhir itu dijangka berlangsung pada Oktober atau November depan. Namun, kami tetap mengimpikan dapat melakar sejarah dalam kejohanan yang berprestij tersebut biarpun ternyata agak sukar,” ujarnya.

Berpandangan jauh ke hadapan, pemain ini bercita-cita untuk menjadi jurulatih semata-mata untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada kepada pemain-pemain baru yang meminati sukan hoki.

“Pun begitu, sekiranya pasukan masih memerlukan khidmat saya, maka saya akan terus bertahan selagi mampu dengan mencurahkan kudrat dan tenaga selain mempamerkan prestasi yang mantap untuk melakar sejarah bersama skuad hoki wanita,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas