Artikel

Malaysia tandatangani Final Acts Persidangan Plenipotentiary ITU 2022

PERSIDANGAN Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa telah diadakan pada 26 September hingga 14 Oktober 2022 di Bucharest, Romania.
- Diterbit 21 Oktober 2022 8:43 AM MYT

TAN SRI ANNUAR MUSA

PERSIDANGAN Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP22) yang diadakan pada 26 September hingga 14 Oktober 2022 di Bucharest, Romania dan Final Acts Persidangan Plenipotentiary Bucharest 2022 telah berjaya mengumpulkan semua resolusi yang telah diluluskan di ITU PP22 dan ditandatangani oleh 157 negara anggota termasuk Malaysia.

Saya telah mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP22 di Bucharest pada 25 hingga 30 September lalu dan persidangan kali ini juga amat signifikan kepada Malaysia kerana negara kita telah bertanding kerusi Ahli Majlis ITU bagi Zon E (Asia dan Australasia) serta berjaya menduduki tempat kelima teratas daripada 13 kerusi yang dipertandingkan dengan mendapat 147 undi daripada 180 undi. Sebagai Ahli Majlis ITU, Malaysia dapat memainkan peranan berikut:

(i) Mempamerkan kepimpinan negara dalam kesalinghubungan digital dan ekonomi digital melalui perkongsian pandangan dan pendirian dalam mempengaruhi penetapan dasar dan strategi telekomunikasi, internet dan IT global;

(ii) Memelihara kepentingan negara dalam isu-isu global berkaitan kesalinghubungan digital dan keselamatan siber;

(iii) Memastikan tadbir urus ITU adalah berkesan dari aspek kewangan, pentadbiran, sumber manusia dan sebagainya; dan

(iv) Menaikkan imej dan visibiliti negara di peringkat global.Persidangan ini meluluskan Pelan Strategik dan Belanjawan ITU bagi tahun 2024 – 2027 di mana fokus utama strategi empat tahun ini adalah dalam sektor komunikasi radio, penetapan piawaian telekomunikasi serta program-program pembangunan untuk memacu transformasi digital global yang inklusif bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di bawah Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu menjelang tahun 2030.

TAN Sri Annuar Musa (kanan) mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP22 di Bucharest baru-baru ini.

Seramai 3,000 peserta dari 183 negara anggota yang terdiri daripada para Menteri, Timbalan Menteri, pegawai kerajaan, wakil-wakil daripada organisasi antarabangsa, institusi akademik dan syarikat swasta telah menghadiri ITU PP22 ini.

Antara keputusan penting yang dipersetujui pada ITU PP22 adalah seperti berikut:

(i) Mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (Applying artificial intelligence technologies for good);

(ii) Pembinaan keyakinan dan pembangunan mampan di angkasa lepas (Confidencebuilding and sustainable development in outer space);

(iii) Memperkasa golongan wanita melalui transformasi digital (Empowering women and girls through digital transformation);

(iv) Penguntukan radas menerusi pemasangan radio tentera untuk perkhidmatan pertahanan negara (Frequency assignments by military radio installations for national defence services);

(v) Bagaimana teknologi baharu boleh mengurangkan, dan bukannya memburukkan lagi krisis iklim sedunia (How new technologies can mitigate, rather than exacerbate, the climate crisis);

(vi) Bagaimana teknologi boleh melindungi daripada wabak global (How technologies can protect against global pandemics); dan

(vii) Internet of Things (IoT) untuk bandar dan komuniti yang mapan dan pintar (The Internet of Things (IoT) for smart and sustainable cities and communities).

Duta Malaysia ke Romania, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin telah menandatangani Final Acts tersebut bagi pihak Malaysia. Menerusi Final Acts yang ditandatangani ini, negara anggota ITU telah mencapai kata sepakat mengenai tindakantindakan yang perlu diambil bagi memastikan teknologi digital mendatangkan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Harapan Malaysia sebagai Ahli Majlis yang bertanggungjawab dan komited adalah untuk terus bekerjasama dengan ITU dan rakan-rakan negara anggota untuk misi mewujudkan masyarakat berinformasi selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals), kawal selia jalur lebar serta urusan berkaitan keselamatan rangkaian dan perkhidmatan teknologi maklumat serta komunikasi yang menjadi tumpuan pihak kerajaan dan sektor swasta di peringkat antarabangsa.

Keahlian Malaysia di dalam Ahli Majlis ITU ini akan memberi peluang kepada negara secara terus untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan berkongsi pengalaman kepada Ahli Majlis ITU, di samping dapat mempelajari kaedah amalan terbaik dalam membantu melonjakkan pelaksanaan sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL), Dasar 4IR Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan memberikan impak kepada rakyat dan pembangunan sosioekonomi negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas