Artikel

Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid kuasai bahasa Inggeris

RADZI ketika menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress di Sekolah KPM 2022 yang diadakan di sebuah hotel, baru-baru ini.
- Diterbit 21 Oktober 2022 9:09 AM MYT

SERAMAI 1,188 guru dan 576 sekolah di dalam dan luar bandar terbabit dalam projek rintis penggunaan aplikasi Reading Progress, bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata aplikasi tersebut akan mengoptimumkan cara sebutan dan pengenalan perkataan baharu selain struktur ayat dalam subjek itu dengan lebih baik.

“Aplikasi ini akan digunakan dalam sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik.

“Melalui pendekatan itu, muridmurid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-duanya sekali apabila membaca dalam BI, selain sistem ini akan membantu mereka melihat apakah perkataan, cara sebutan dan sebagainya.

“Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya.

Katanya, ini turut melibatkan 1,088 guru-guru dalam melihat dan melonjakkan potensi murid-murid ke tahap lebih tinggi dalam penguasaan bahasa itu.

“Murid-murid akan merekod audio atau video atau dua-duanya sekali apabila baca bahan bacaan Inggeris dan sistem ini membantu mereka lihat apakah perkataan dan cara sebutan serta sebagainya.

“Ini merupakan sebahagian konsep dan usaha pendigitalan pendidikan memberi ruang kepada muridmurid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan dan merasakan mereka sebahagian daripada proses tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif ‘Reading Progress’ di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Selasa.

PENERIMA bersama headset (set kepala) yang akan digunakan sebagai pendekatan PdP untuk memantau tahap penguasaan bahasa Inggeris murid secara berkesan.

Menurut Radzi, penanda aras bagi program ini adalah mengoptimumkan potensi setiap murid dengan mempunyai peringkat bacaan melihat pada penguasaan murid-murid.

Justeru, beliau menegaskan para guru akan mempunyai data atau ‘baseline’ tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.

“Secara tidak langsung apabila program ini berterusan, pengenalan terhadap perkataan dan struktur baharu membolehkan murid mula mempunyai keyakinan penguasaan bahasa ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi memaklumkan kementerian juga akan memperluaskan dalam bahasa Melayu sekiranya aplikasi telah tersedia dalam microsoft yang dijangka pada tahun depan.

“Buat masa ini belum siap berbanding bahasa Inggeris. Semua ini merupakan pendekatan bagi memudahkan pembelajaran dan memastikan lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

Katanya, antara aspek yang akan diteliti sepanjang tempoh projek perintis adalah kekuatan dan kestabilan internet yang diperlukan di setiap sekolah untuk membolehkan aplikasi Reading Progress digunakan secara berkesan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas