Berita

Malaysia lonjak kedudukan CPI 2023

- Diterbit 5 Februari 2024 4:21 PM MYT

MALAYSIA mencatatkan peningkatan dalam ranking rasuah global kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI).

Menurut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang diumumkan Transparency International Malaysia (TI-M) pada Selasa, penambahan mata itu telah melonjakkan negara di kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam pendakwaan dan siasatan terhadap dua bekas Perdana Menteri merupakan antara faktor yang mendorong kepada peningkatan skor CPI.

“Malaysia naik ke kedudukan ke-40 dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2022 dengan skor 7.3/10.

“Walaupun wujud ketidakstabilan politik, namun penyertaan pengundi lebih tinggi disebabkan oleh Undi-18.

“Peralihan kuasa yang lancar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15, menunjukkan bahawa prinsip demokrasi masih wujud dan dihormati,” katanya dalam sidang media TI-Malaysia baru-baru ini.

Jelas Muhammad, pihaknya turut mencadangkan beberapa langkah untuk negara meningkatkan kedudukannya dalam CPI termasuk mempercepatkan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengakhiri pelantikan politik untuk jawatan-jawatan di agensi-agensi berkaitan kerajaan.

“Jadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas. Sebagai contoh, ketika ini, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata TI-M juga ingin melihat perdana menteri dikeluarkan daripada fungsi pemilihan dan tempoh jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebaliknya diuruskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Kita juga ingin melihat pindaan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Rasuah 2010 kerana undang-undang itu kini mempunyai kelemahan dan kekurangan.

“Pada tahun 2023, skor itu melantun semula. Terdapat lantunan tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Ia meningkat tiga mata pada 2023, jadi apa yang boleh dikatakan adalah ia memberi kita harapan,” katanya.

Sementara itu Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83, dan berada di tangga kelima daripada 180 negara dalam kalangan negara ASEAN.

Denmark pula berada di tangga pertama dengan skor 90 mata CPI 2023 diikuti Finland (87 mata) dan New Zealand (85 mata). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas