Berita

Malaysia, Gansu jalin kerjasama promosi pelancongan

SALAH satu bangunan purba yang menjadi daya tarikan di Gansu.
- Diterbit 20 Januari 2020 7:53 AM MYT

 

KUALA LUMPUR –  Gansu yang terletak di Utara China kini menjadi satu lagi destinasi pilihan bagi rakyat Malaysia setelah sebelum ini ramai pengunjung tertumpu di Beijing, Guangzhou dan Xian.

Salah satu keunikan Gansu ialah ia merupakan gabungan antara tanah tinggi Tibet dan Mongolia dengan destinasi menariknya Yellow River iaitu laluan Sungai Yangtze di daerah Baiyin di wilayah berkenaan.

Lebih menarik, ia juga merupakan tapak pertama untuk laluan ke Tembok Besar China dan faktor ini bakal menawarkan pengembaraan mengujakan.

Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Antarabangsa Hong Kong, Macau, Taiwan yang mempunyai cawangan di Gansu, Sun Sen berkata, terdapat sebuah daerah di wilayah itu yang dikenali sebagai ‘Mekah’ kecil.

“Gansu merupakan negeri mesra muslim kerana terdapat sebuah daerah di negeri itu ramai komuniti Islam yang akan membolehkan rakyat Malaysia khususnya beragama Islam dapat menikmati makanan tanpa sebarang masalah dan berkunjung ke sebuah masjid di situ.

“Pelancong Muslim tidak perlu risau mengenai aspek makanan dan minuman kerana jabatannya turut memantau tahap kebersihan dan pengesahan halal di premis yang menyediakan menu halal kepada pelancong,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mempromosikan Kebudayaan dan Pelancongan Gansu di sini baru-baru ini.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Gansu dan Malaysia bagi mengerat dan mengukuhkan hubungan dalam mempromosikan destinasi pelancongan kedua-dua buah destinasi pelancongan tersebut.

Majlis bertemakan, ‘Silk Road in Symphony, Gansu in Harmony’ bersesuaian dengan negeri tersebut yang memiliki gabungan pembangunan, kebudayaan serta menjadi jalan penghubung koridor perdagangan, ketenteraan dan mempunyai sejarah perubahan ketamadunan yang hebat.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika) Tourism Malaysia, Chan Hon Mun.

Gansu yang keluasan 454,000 kilometer persegi memiliki populasi lebih 26 juta penduduk. Negeri tersebut mengalami iklim empat musim dan kaya dengan keindahan kebudayaan serta sejarah.

Sementara itu, Hon Mun menjelaskan, pihaknya berbangga kerana Kuala Lumpur dipilih oleh pihak berkuasa pelancongan di Gansu untuk mempromosikan produk pelancongan dan kebudayaan mereka.

“Ini akan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Gansu sekali gus bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kami akan mengambil peluang ini untuk mempromosikan Malaysia kepada rakyat China,” katanya. – WILAYAHKU

 

SUN SEN (tiga dari kanan) bersama Hon Mun (dua dari kanan) pada majlis pelancaran promosi destinasi pelancongan Gansu, China di Kuala Lumpur baru baru ini.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas