Selera

Makanan ringkas tapi kenyang

- Diterbit 22 Disember 2023 4:20 PM MYT

WANPAKU Sandwic atau juga dikenali sebagai Wanpaku Sando adalah makanan diet stail terbaru dari Jepun yang menjadi ‘kegilaan’ ramai di seluruh dunia.

Dihasilkan daripada kepingan roti yang dilapis dengan pelbagai jenis sayur dan kepadatan isi, sajian Wanpaku Sandwic ini mampu mengenyangkan perut dalam jangka masa panjang.

Menurut Pemilik Eat With Love, Anis Najihah Arman Zukee, 25, idea Wanpaku Sandwic itu muncul daripada rutin hariannya yang sibuk menguruskan anak yang masih kecil.

“Disebabkan masa yang terhad saya perlu mencari makanan yang ringkas tetapi mengenyangkan tambahan pula suami selalu minta untuk buatkan makanan seperti wrap, sandwic dan sebagainya jadi dari situ idea tersebut datang.

“Keunikan kerana ia mempunyai tiga lapisan yang dihasilkan daripada kepingan roti yang dilapis dengan pelbagai jenis sayur dan bahan-bahan berwarna-warni membuatkan ia kelihatan menarik dan cantik,” katanya kepada Wilayahku.

Berkongsi keistimewaan Wanpaku Sandwic berbanding jenama lain yang berada di pasaran, Anis Najihah berkata mereka turut menyediakan sos buatan sendiri untuk dimakan bersama.

“Saya dan suami memang suka memasak, jadi kami mengeluarkan resipi sendiri untuk sos tersebut yang mempunyai rasa pedas, manis dan masam. Kami menggunakan ayam panggang yang diperap semalaman selain roti juga turut dipanggang sebelum dibalut untuk mengekalkan kualiti.

“Antara menu yang terlaris adalah Spicy Chicken, Wanpuku Spicy Crab, Chicken Pla, Buttermilk Chicken serta Milk Tea Latte di mana semua produk kita adalah 100 peratus resipi sendiri dan telah ditambah baik mengikut cita rasa Melayu,” ujarnya harga bermula serendah RM9 sehingga RM15.

Menjalankan perniagaan dari rumah, Anis Najihah berkata antara cabaran yang dihadapi adalah kawasan yang terhad membuatkan dirinya terpaksa menolak untuk mengambil tempahan dengan banyak.

“Ruang bekerja juga sangat terhad dan amat tidak bersesuaian untuk menjalankan perniagaan dari rumah dan disebabkan itu saya tidak boleh mengambil pesanan yang banyak.

“Saya turut merancang untuk berpindah ke studio atau ruang yang lebih besar bagi mengembangkan perniagaan yang semakin diterima ramai ini,” ujarnya penghantaran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bermula pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang atau boleh diambil di Cyberjaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas