Selera

Inti padat pikat pembeli

INTI yang tebal dan padat dengan daging merupakan keunikan makanan ini.
- Diterbit 22 Disember 2023 4:10 PM MYT

MENGEKALKAN rasa yang enak dan kualiti yang tinggi merupakan rahsia utama Murtabak Ana yang terletak di Pasar Chow Kit mampu bertahan selama 40 tahun.

Menurut Pengurusnya, Muhamad Hafizuddin Muhamad Zaki, 31, perniagaan yang dijalankan sejak era 80-an itu mempunyai banyak persaingan namun keunikannya membuatkan ia dikenali ramai.

“Kalau kita tengok hari biasa susah nak jumpa murtabak, saya antara individu yang menjualnya pada waktu pagi dan apabila kita kekalkan rasa dan kualiti itulah yang membuatkan pelanggan datang semula.

MUHAMAD HAFIZUDDIN membantu menguruskan perniagaan ayahnya.

“Menu paling laris semestinya murtabak daging. Inti yang kita tawarkan tebal dan padat dengan daging bukan bawang semata-mata membuatkan pembeli jatuh hati selepas menikmati Murtabak Ana.

“Itulah kelebihannya selain rasa yang premium, harga yang rendah iaitu RM4.50 sekeping tidak membebankan pembeli terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya Murtabak Ana juga turut diminati oleh pelancong asing.

Tambahnya lagi, sebelum ini murtabak tersebut dijual dengan harga RM4 sekeping namun dinaikkan sedikit berikutan harga semasa barangan mentah pada hari ini.

“Alhamdulillah kebanyakan pelanggan tidak kisah dengan harga terbaharu sebab mereka faham dengan keadaan sekarang. Ada yang membeli sehingga 20 keping untuk dihantar kepada anak dan saudara-mara di luar negara.

“Biarpun murtabak terjual sehingga 600 hingga 700 keping pada hujung minggu namun kami tidak bercadang untuk mempelbagaikan menu kerana tidak mahu pelanggan menunggu lama,” ujarnya pesanan hanya dibuat menerusi panggilan telefon.

Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Muhamad Hafizuddin berkata pembukaan cawangan lain masih dalam perancangan memandangkan pembuatan murtabak adalah rumit dan memerlukan kemahiran.

“Saya jenis berpegang pada kualiti. Kalau nak buka cawangan lain, kita memerlukan pekerja yang pakar untuk menguruskan perniagaan tersebut. Jika tersilap, ia akan merosakkan rasa dan kualiti Murtabak Ana.

“Selain itu, saya juga menyimpan hasrat untuk membuka sebuah kilang bagi penjualan murtabak sejuk beku namun itu juga mengambil masa dan memerlukan perancangan yang teliti,” jelasnya yang mengharapkan perniagaan ini akan terus maju dan mempunyai pelanggan dari seluruh pelosok dunia.

INFO
Lokasi: Jalan Raja Bot, ChowKit, 53300 Kuala Lumpur
Waktu operasi: 8.30 pagi hingga habis (setiap hari)
Hubungi: 018-270 3483

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas