Berita

Majoriti setuju pembangunan Kampong Bharu, PKB berjaya yakinkan pemilik tanah

PERJUANGAN PKB mula diakui serta mendapat perhatian penduduk
- Diterbit 19 Januari 2024 8:10 AM MYT

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) merupakan sebuah perbadanan yang diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733). PKB berperanan sebagai pemudah cara termasuk melaksana polisi dan arah tuju pembangunan, sebagai badan penyelaras utama dalam pemajuan di Kampong Bharu, memaju, menggalakkan dan memudahkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang teratur.

Tidak dinafikan sensitiviti orang-orang Melayu mengenai tanah Kampong Bharu amat tinggi sehingga pelbagai persepsi liar ditimbulkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab kerana mahu menggagalkan rancangan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di situ.

Namun bertitik tolak serta keazaman jitu PKB, jumlah penduduk dan waris yang menyatakan persetujuan ke atas cadangan pembangunan semula telah meningkat dari semasa ke semasa sehingga yang terakhir mencecah 88 peratus sekali gus membuktikan perjuangan PKB mula diakui serta mendapat perhatian penduduk yang mahu kawasan itu dibangunkan.

Bercakap mengenai pembangunan Kampong Bharu, Fellow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan menyifatkan angka 88 peratus ke atas cadangan pembangunan semula yang telah diraih oleh PKB menunjukkan kesediaan orang Melayu untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam membangunkan semula kawasan itu.

“Angka 88 peratus ini boleh dikatakan sudahpun mencapai 100 peratus berikutan baki 12 peratus yang belum menyatakan sokongan ke atas cadangan pembangunan semula berkemungkinan disebabkan pertindihan jumlah pemilik yang ramai atau yang telah meninggal dunia.

“Selain itu pencapaian PKB dalam mencatatkan jumlah tersebut boleh dikatakan berjaya kerana isu tersebut sememangnya sukar kerana ia melibatkan perkara yang sensitif dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Menurut Azmi dengan perkembangan baharu itu, ia memudahkan PKB meneruskan rancangannya dalam memberikan wajah baharu untuk penempatan Melayu yang telah menjangkau usia 124 tahun ini.

“Saya berpendapat apa yang perlu dilakukan adalah dengan membuat pembangunan secara organik mengikut kaedah secara blok-blok pembangunan yang telah dipersetujui supaya pembangunan dapat dijalankan dengan segera.

“Ia perlu dilaksanakan agar pemilik dan pewaris melihat apa manfaat yang akan mereka dapat jika pembangunan ini disegerakan kerana pembangunan secara fizikal itu boleh memujuk mereka,” katanya.

Beliau yang juga geostrategis terkemuka berkata kewujudan seorang menteri dalam menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan juga memudahkan proses yang berkaitan termasuk untuk menarik minat 12 peratus yang belum menyatakan persetujuan ke atas cadangan pembangunan semula tersebut.

“Sebahagian pemilik dan pewaris dalam kelompok 12 peratus ini mengambil sikap tunggu dan lihat. Bagi menangani perkara ini, pihak kementerian boleh mengambil inisiatif proaktif untuk mengadakan sesi libat urus atau turun padang di Kampong Bharu. Dengan cara ini, ia boleh menambahkan lagi keyakinan pemilik, penduduk terhadap usaha kerajaan untuk pembangunan semula Kampong Bharu,” katanya.

Tambah Azmi, melalui jumlah terkini seramai 7,242 pemilik berdaftar hartanah di Kampong Bharu serta meliputi dari tiga hingga lima generasi, ramai pihak mengandaikan misi untuk mendapatkan persetujuan baki 12 peratus itu berkemungkinan sukar, namun jelas beliau ia tidak mustahil kerana sepanjang 12 tahun PKB ditubuhkan ia telahpun memperolehi sokongan lebih besar berbanding dahulu.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Ar Ts Sri Nor Shamsul menyifatkan cadangan pembangunan dengan kaedah secara blok-blok pembangunan dari keseluruhan keluasan 300.73 ekar yang dipecahkan kepada 44 blok pembangunan dari segi komposisi pelan adalah sangat realistik berikutan ada kalangan kelompok penduduk yang telah bersetuju untuk kawasan mereka dibangunkan.

“Contohnya kawasan pembangunan semula di Kampung Sungai Baru dan di Kampung Padang yang mana kedua-dua kawasan itu di luar dari pentadbiran M.A.S yang membolehkan hala tuju pembangunan direalisasikan berdasarkan isu yang minima,” katanya.

Kata Nor Shamsul pembangunan secara blok-blok pembangunan yang dicadangkan itu juga bersesuaian dengan kapasiti PKB ketika ini yang mana keupayaan organisasi itu terbatas serta tidak mampu mengembleng tenaga untuk membangunkan keseluruhan Kampong Bharu secara serentak.

“Idea itu sangat realistik dan tidak perlu mengejar pembangunan secara komprehensif kerana cadangan pembangunan melibatkan lingkungan dua hingga lima ekar sahaja adalah praktikal khususnya lot-lot yang membabitkan pemilik dan pewaris yang telah menyatakan persetujuan.

“Jadi dengan perancangan secara berperingkat, kita sasarkan pembangunan di luar kawasan M.A.S terlebih dahulu dan dorongan kerajaan dari segi pembiayaan infrastruktur secara berfasa maka saya yakin akan menjadi role model kepada blok-blok pembangunan yang lain untuk seiring dengan aspirasi pembangunan semula Kampong Bharu,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas