Berita

Panggilan terputus catat penurunan sehingga 74 peratus, MCMC terus pantau aduan pengguna

FAHMI (kiri) ketika pelaksanaan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dari bangunan Parlimen ke Putrajaya
- Diterbit 19 Januari 2024 8:00 AM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan penurunan bagi aduan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih 4G antara 10 sehingga 74 peratus.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia melibatkan liputan perkhidmatan suara oleh penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech), Yes (YTL Communication) dan Telekom Malaysia.

“MCMC akan terus memantau isu ini sepanjang suku pertama sehingga 31 Mac 2024 dan melaporkan semula kepada saya.

“MCMC juga memainkan peranan penting untuk bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar telco di Malaysia sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan,” ujar beliau pada sidang media Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular baru-baru ini.

Sebelum itu, Fahmi bersama timbalannya, Teo Nie Ching menaiki bas dari bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi, Putrajaya bagi sesi Ujian Panggilan Suara atau dropped calls-drive test untuk meneliti sendiri kualiti panggilan telefon bimbit sama ada memuaskan atau sebaliknya.

“Ujian dilaksanakan oleh pegawai-pegawai MCMC yang terlatih dengan menggunakan peralatan khas pengujian Nemo Walker Air.

“Terdapat dua set Nemo Walker Air digunakan untuk dua jenis ujian iaitu panggilan berturutan dan panggilan berterusan.

“Dapatan daripada ujian yang dilakukan pada 9 Januari 2023, tiada panggilan terputus direkodkan dan saya ingin menekankan di sini bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan Internet.

“Kepada semua pengendali rangkaian mudah alih, saya berharap agar perhatian serius dan pantas dapat diambil dalam menyelesaikan masalah ini. Rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan berkualiti yang setimpal nilainya dengan langganan perkhidmatan,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan memandang serius isu panggilan terputus yang sering kali dibangkitkan oleh pengguna sekali gus berusaha bagi menangani masalah tersebut demi kepentingan rakyat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan pengurusan kanan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia.

Terdahulu, dalam ujian tersebut kira-kira 30 pengamal media turut dibawa menaiki bas berasingan serta diberi taklimat berhubung proses berkenaan oleh pegawai MCMC.

Menurut Fahmi, bagi tempoh antara 1 Januari sehingga 13 Disember 2023 yang lalu, hasil pengauditan yang dijalankan oleh MCMC menunjukkan sebanyak 1,837 panggilan terputus telah direkodkan, termasuk kes-kes yang berlaku di luar kawasan liputan.

“Satu pertemuan di antara MCMC dengan pihak pengendali rangkaian mudah alih dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah diadakan pada 14 Disember 2023 bagi membincangkan mengenai masalah panggilan terputus dalam rangkaian mudah alih.

“Susulan daripada pertemuan itu, satu bengkel telah dianjurkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini.

“Pada penganjuran bengkel berkenaan, beberapa inisiatif telah dikenal pasti dan dipersetujui antaranya selain daripada pihak pengendali rangkaian mudah alih 4G mengoptimumkan rangkaian mereka, DNB juga telah mengaktifkan fungsi Call Reestablishment (CRE) untuk saluran LTE700 dalam rangkaian 5G bermula dari 21 sehingga 29 Disember 2023 untuk kesemua tapak 5G di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengumumkan bahawa pihak telco sudah bersetuju agar pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj apabila beralih kepada rangkaian 5G. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas