Berita

Majlis Mesra PPj Bersama Komuniti 2023 meriah

SEKITAR Majlis Mesra PPj Bersama Komuniti yang diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 9.
- Diterbit 24 Ogos 2023 4:00 AM MYT

SAMBUTAN Majlis Mesra Perbadanan Putrajaya Bersama Komuniti 2023 berlangsung meriah dengan kehadiran seramai 150 orang pemimpin komuniti di Bilik Serbaguna, Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya pada Selasa.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata pemimpin komuniti yang hadir ke majlis tersebut terdiri daripada pemimpin komuniti persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), ketua-ketua blok, ahli jawatankuasa Surau dan Joint Management Body (JMB) dari lokaliti Presint 9, Putrajaya di bawah seliaan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 2 dan Sub Zon 6.

“Tujuan utama program ini adalah untuk mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada pemegang taruh khususnya pemimpin-pemimpin komuniti Putrajaya berkenaan penyampaian perkhidmatan PPj dan agensi-agensi yang berkaitan.

“Ia juga merupakan salah satu usaha untuk mendekati dan outreach kepada lebih ramai pemimpin komuniti ke arah mengeratkan silaturahim dan memastikan keharmonian serta kemakmuran terus berkembang erat di Putrajaya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dalam masa sama, Fadlun berkata majlis mesra ini turut sinonim dengan sesi turun padang warga PPj dan agensi untuk memperkukuhkan hubungan, bertukar pandangan dan berkolaborasi dalam memajukan Putrajaya pada masa hadapan.

“Di samping itu, ia menggalakkan penglibatan dan peranan komuniti Putrajaya dalam pelaksanaan program kemasyarakatan melalui sumbangan idea, sekali gus membentuk ‘sense of belonging’ dan ‘sense of identity’ kepada kawasan persekitaran khususnya Putrajaya,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas