Berita

Majlis Dakwah Negara harap perpaduan ummah dimulakan selepas lantikan PM ke-9

MAHMOOD ZUHDI
- Diterbit 21 Ogos 2021 2:52 AM MYT

PENYELESAIAN kemelut politik menerusi lantikan baharu Perdana Menteri kesembilan perlu dilihat sebagai penamatan terhadap perbalahan yang merisaukan rakyat di samping permulaan bagi proses perpaduan ummah yang menjanjikan kejayaan.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, ia sejajar dengan sejarah awal umat Islam iaitu ‘Tahun Perpaduan’ atau ‘Am al-Jama’ah” yang mana selepas kemelut itu terjadi, proses pembinan tamadun Islam menjadi lancar.

“Untuk itu, pemimpin perlu menjinakkan rasa ego agar tidak terus liar dan melunakkan dendam kesumat masing-masing agar tidak terus bergelodak. Sesungguhnya, kerana ego yang liarlah maka Iblis yang pada mulanya merupakan antara malaikat paling berwibawa menjadi makhluk yang paling terlaknat dari dunia sampai ke akhirat.

“Lantaran ego yang liar jugalah maka anak Nabi Adam, Qabil telah menjadi pembunuh pertama dalam sejarah hidup manusia. Dengan sebab yang sama juga Kan’an, anak Nabi Nuh mati tenggelam dalam taufan sewaktu ayahnya sendiri berjaya menyelamatkan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi turut menasihatkan rakyat terutama pengikut parti supaya berhenti daripada berperanan sebagai pengadu domba yang sentiasa menghasut pemimpin untuk terus berbalah.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas