Berita

MAIWP salur bantuan RM5.3 juta kepada golongan terjejas di Labuan

Pengurus MAIWP Labuan Ustaz Fadzli Md Saad (hujung kanan) menyampaikan cek simbolik bantuan lampin pakai buang dan formula susu bayi kepada pengarah JKM Ansharey (dua dari kanan) untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
- Diterbit 24 Julai 2021 3:00 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas di Pulau Bebas Cukai itu menerusi pelaksanaan Musaadah COVID-19 membabitkan jumlah agihan sebanyak RM5.3 juta.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, MAIWP memaklumkan bantuan itu telah disalurkan sepanjang bulan Januari sehingga 16 Julai tahun ini.

Jelasnya, bantuan kecemasan bagi golongan yang hilang pekerjaan dan mengalami pengurangan gaji ketika pandemik COVID-19 melanda negara merupakan bantuan yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu melibatkan 1.8 juta kepada 3,785 individu.

Selain itu, seramai 413 peniaga yang terkesan turut menerima bantuan Musa Musaadah Tijariyah bernilai sejumlah keseluruhan RM1.2 juta.

MAIWP juga menyalurkan kepada golongan mualaf yang melibatkan seramai 543 individu dengan jumlah keseluruhannya RM 271,500.

Dalam pada itu, MAIWP juga menyalurkan bantuan lampin pakai buang dan susu formula bayi bernilai RM20,000 melibatkan 334 pek lampin pakai buang bayi dan 463 bungkus pelbagai jenama susu formula bayi. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas