Berita

RESIPI MASAKAN HARI RAYA GUNA AIR FRYER

- Diterbit 24 Julai 2021 4:00 AM MYT

APABILA tiba hari raya, pasti ramai sibuk memikirkan juadah makanan yang senang dibuat di pagi raya. Betul tak? Lebih-lebih lagi tahun ini kita akan beraya di rumah masing-masing tanpa ahli keluarga yang pakar memasak. Namun ini tidak bermakna kita semua tidak dapat menikmati kesemua makanan raya kegemaran pada musim Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 ini kan?

Kali ini Wilayahku kongsikan lima resipi mudah yang boleh dibuat di pagi raya menggunakan air fryer. Fuh senangnya! Barulah rasa macam hari raya!

AYAM BAKAR RENDANG

BAHAN-BAHAN

1/2 ekor ayam dipotong
2 paket kecil kerisik
5 helai daun limau purut
1 1/2 sudu besar gula pasir
1/2 sudu besar garam
1 sudu kecil serbuk perasa
1 keping asam gelugur
3 helai daun kunyit dihiris halus
1 1/2 cawan air

BAHAN KISAR

Bawang merah
Bawang putih
Halia
Lengkuas
Serai

CARA PENYEDIAAN

  1. Gaul sebati semua bahan bersama ayam.
  2. Bakar suhu 160°C selama 20 minit.
  3. Terbalikkan ayam dan bakar lagi selama 20 minit.
  4. Nak bagi garing sikit naikkan kepada suhu 190°C selama 5 minit pada setiap belah.

LEMANG CAWAN

BAHAN-BAHAN

2 cawan beras pulut
2 cawan santan pekat
1/2 cawan air
1 sudu teh garam
Daun pandan
Cawan kertas

CARA PENYEDIAAN

  1. Basuh beras pulut sehingga bersih.
  2. Rendam beras pulut di dalam air selama 2 jam.
  3. Kemudian toskan air. Basuh bersih dan rendam dengan air santan dan garam selama 30 minit.
  4. Alas cawan dengan daun pandan sementara menunggu.
  5. Isikan beras ke dalam cawan dan tuang santan mengikut paras beras pulut.
  6. Panaskan air fryer pada suhu 180°C selama 5 minit.
  7. Masukkan beras pulut yang telah diisi dalam cawan ke dalam air fryer.
  8. Bakar 1: 180°C selama 30 minit.
  9. Bakar 2: 160°C selama 10 minit.
  10. Dah siap, biarkan selama 10 minit dalam air fryer sebelum dikeluarkan.
  11. Kemudian boleh dihidangkan lemang bersama juadah pilihan.

KETUPAT PALAS

BAHAN-BAHAN

1 kg beras pulut susu
1 kg santan pekat
1 cawan air
1 1/2 sudu kecil garam
2 ikat daun pandan

CARA PENYEDIAAN

  1. Basuh beras pulut dan toskan airnya. Campurkan santan, air, garam dan daun pandan ke dalam periuk.
  2. Masak dengan api sederhana sehingga hampir mendidih dan terus masukkan beras pulut. Masak sehingga likat.
  3. Apabila pulut dah sejuk, masukkan ke dalam daun ketupat palas. Ikat ketat dan kemas, dan simpulkan tangkainya supaya semasa masak nanti pulut tidak terburai dan air tak masuk ke dalam daun.
  4. Masukkan kesemua pulut yang dah siap ke dalam periuk, isi air hingga paras tinggi ketupat.
  5. Kemudian masak hingga airnya kering.
  6. Sebelum goreng di air fryer pastikan letak di dalam peti sejuk terlebih dahulu, goreng pada suhu 200°C selama 20 minit.

SATE AYAM

BAHAN-BAHAN

Dada ayam dihiris panjang
Bawang putih
Serai
Kunyit hidup
2 sudu besar gula perang

CARA PENYEDIAAN

  1. Kisar semua bahan kecuali dada ayam.
  2. Campurkan bahan kisar dengan sos tiram, garam, ayam dada dan perap selama 1-2 jam.
  3. Cucuk bahan perapan dengan lidi.
  4. Bakar suhu 160°C selama 10 minit. Terbalikkan dan tambah lagi bakar selama 5 minit.

KUAH KACANG

BAHAN A

500 g kacang
6-7 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
3 cm lengkuas
3 barang serai

BAHAN B

Gula merah/gula
Cili kisar
Air
Minyak
Garam/perisa secukup rasa

CARA PENYEDIAAN

  1. Bahan-bahan A disangai tanpa minyak dalam air fryer dengan suhu 160°C selama 15 minithingga masak.
  2. Kisar bahan A.
  3. Satukan kacang yang telah dikisar bersama gula merah, cili kisar, garam, serbuk perasa, air dan minyak ke dalam kuali.
  4. Kacau sebati, masak sehingga naik bau.
  5. Siap dan boleh dihidangkan bersama ketupat, rojak mee, sate dan apa saja mengikut cita rasa anda.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas