Berita

MAIWP perlu kemuka laporan pencapaian

Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 18 Februari 2024 5:33 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengemukakan laporan lengkap pencapaian setahun dan pelan hala tuju bagi memperbaiki kelemahan.

Beliau berkata MAIWP perlu dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada negeri lain dalam urusan kutipan zakat dan penyelarasan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya nak tahu inventori, berapa buku yang ada dan belum diedar, semua itu inventori mengikut tradisi Islam yang betul.

“Saya mahu MAIWP mengemukakan cadangan bagaimana boleh menjadi Majlis Agama Islam terbaik dan pengurusan serta tatakelola terbaik dan mengenepikan apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu,” ujar beliau ketika merasmikan Program Karnival MAIWP di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Tegas Anwar beliau mahu MAIWP menjadi mercu tanda kebanggaan umat dengan tatakelola terbaik dan semangat roh perjuangan yang bermakna.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam pada itu, Anwar juga mahu MAIWP menyelaraskan penyampaian bantuan zakat bersama agensi lain bagi memastikan tiada keciciran dan rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan mendapat manfaat.

“Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak, ada satu keluarga dapat empat kali bantuan, satu keluarga lain pula tak dapat langsung, jadi saya harap ini diurus dengan baik.

“Kerja Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi bukan sekadar meneruskan kegiatan-kegiatan, pastikan setiap dana dan sen wang rakyat itu kembali kepada rakyat dan tidak boleh diperalatkan untuk kesenangan peribadi.

“Tanggungjawab kita, generasi penerus ialah memastikan urusan zakat dikendali dengan cermat, sebab itu saya katakan di Pulau Pinang sebelum ini, bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita kutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok termiskin yang tak cukup makan, yang tak dapat sediakan uniform anak sekolah, masih tidak diurus.

“Jadi saya berterima kasih kepada MAIWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membantu proses pelaksanaan zakat dengan baik bersama agensi lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas