Berita

MAIWP Labuan anjur Rahmah Day

ANTARA aktiviti yang disediakan untuk orang ramai dipamerkan dalam poster Rahmah Day.
- Diterbit 15 November 2019 5:57 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP Labuan akan mengadakan program ‘Rahmah Day 2019’ di Kom­pleks Ujana Kewangan pada 16 November ini.

Ketua Komunikasi Korporat MAIWP Labuan, Amelia Hazerena Matahir berkata, program tersebut diadakan untuk mendekatkan masyarakat Labuan dengan MAIWP.

“Program ini berbentuk karnival dan ia merupakan promosi mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MAIWP.

“Selain itu, ia juga memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai bidang kuasa MAIWP sebagai pengagih zakat dan PPZ sebagai pengutip zakat,” katanya ke­pada Wilayahku baru-baru ini.

Ujar Amelia, program yang memasuki edisi kedua itu bertujuan untuk mempromosikan produk MAIWP kepada orang ramai.

“Melalui program ini, orang ramai akan diberikan penerangan mengenai permohonan bantuan zakat dan perkhidmatan yang lain seperti wakaf dan luqatah,” katanya.

Kata Amelia lagi, pelbagai acara menarik disediakan kepada para pengunjung.

“Slot sebelah pagi akan diadakan forum dan diskusi yang diberi nama ‘kupi-kupi zakat’ dan penyertaan terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk menambahkan ilmu berkenaan zakat.

“Selain itu, turut diadakan program ‘Choral Speaking’ untuk murid tadika melibatkan 10 pasukan,” katanya.

Amelina menjelaskan, antara program yang dijangka mendapat sambutan adalah Explorace Zakat yang akan berlangsung di dalam bangunan Ujana Kewangan dan ‘Bey Blade Sahabat Zakat’.

“Program ini terhad kepada 100 peserta terawal dan dilaksanakan dalam masa kira-kira dua jam sahaja,” katanya.

Tambah Amelia, para pengunjung turut dapat menyertai pertandingan kuiz santai pengunjung, sesi like and share ‘Page FB PPZ dan MAIWP’ dan turut diberikan hadiah misteri selain cabutan bertuah.

Kata Amelia, beberapa agensi kerajaan akan turut menyertai pameran untuk memberikan informasi mengenai perkhidmatan yang ditawarkan antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Islam, Bank Rakyat dan CIMB.

Ujar Amelia, Rahmah Day turut mendapat kerjasama Financial Park Labuan, Radio Online V2RIA, Persatuan Memanah Labuan, Persatuan Silat Kebangsaan Labuan, Kelab Anak Belia Tanjung Aru dan Persatuan Belia Beliawanis Bukit Kuda (PBBBK).

“Kami menjangka kehadiran bakal mencecah 1,500 pengunjung. Kumpulan nasyid terkenal UNIC turut dijadual ha­dir dalam program sehari itu untuk menghiburkan para pengunjung,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas