Berita

MAIWP buka permohonan bantuan Zakat Kecemasan COVID-19

- Diterbit 21 Jun 2021 6:33 AM MYT

SEJAJAR pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diadakan masa ini, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka permohonan bantuan Zakat Kecemasan COVID-19.

Permohonan tersebut boleh mula dibuat pada 15 Jun dan terbuka kepada golongan B40 dan mereka terjejas pendapatan yang berada di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Baitulmal MAIWP memaklumkan, penerima sumbangan kewangan bulanan di bawahnya dan sudah menerima 11 inisiatif yang ditawarkan MAIWP tidak layak memohon bantuan kecemasan itu.

“Permohonan yang berjaya akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM500 manakala penerima semasa PKP 2.0 pula Bakal mendapat sumbangan yang disalurkan secara automatik.

“Penerima PKP 1.0 yang gagal memohon ketika PKP 2.0 perlu membuat permohonan semula secara dalam talian untuk bantuan terkini ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Jun lalu.

Katanya, permohonan boleh dibuat menerusi ebaitulmal.maiwp. gov.my/ez-zakat sehingga 30 Jun ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, kesemua penerima bantuan kewangan bulanan Baitulmal MAIWP akan menerima bantuan zakat khas tambahan sebanyak RM300 secara automatik.

Tambahnya, pembayaran bantuan Zakat Kecemasan MAIWP 3.0 dan zakat khas akan disalurkan secara berperingkat bermula 15 Jun hingga 15 Julai ini. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas