Berita

JAWI benar laksana ibadah korban tahun ini

- Diterbit 21 Jun 2021 6:30 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuat ketetapan dan membenarkan ibadah korban pada tahun ini dilaksanakan selaras dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustain Billah Shah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, beberapa ketetapan telah diputuskan berkenaan dengan pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan tahun 2021.

“Pelaksanaan ibadah korban dibenarkan namun proses penyembelihan binatang korban, lapah, potong dan pembungkusan daging korban hanya dibenarkan dilaksanakan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut penyelarasan JAWI melalui Pejabat-Pejabat Pentadbiran Zon.

“Pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama yang ditetapkan, petugas barisan hadapan dan golongan sasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Ajib, pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang juga dibenarkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), JAWI dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Had kapasiti sembelihan korban tidak melebihi lima ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas tidak melebihi 12 orang.

“Semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan demi memastikan ibadah korban dapat dihayati dan kemaslahatan semua pihak sentiasa terpelihara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas