Berita

MAIWP bangunkan projek perumahan mampu milik bernilai RM170 juta

MUJAHID (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Abdul Aziz dan Syed Hussein(kanan) berkenaan projek pembangunan Residensi MAIWP di sini hari ini.
- Diterbit 31 Januari 2020 4:55 AM MYT

KUALA LUMPUR- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal membangunkan projek perumahan mampu milik di Taman Pelangi Jaya, Mukim Batu, di sini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, projek yang dikenali sebagai Residensi MAIWP itu akan dibina dengan nilai pembangunan RM170 juta.

“Projek ini akan mempunyai kira-kira 360 unit rumah dengan keluasan 900 kaki persegi.

“Selain itu, projek ini dibina setinggi 26 tingkat termasuk lapan tingkat untuk tempat letak kereta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Awal Residensi MAIWP di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Ujar Mujahid, projek tersebut juga dibina sebagai memenuhi keperluan masyarakat pada hari ini terutama umat Islam.

“Projek ini merupakan perumahan kos sederhana dan ia bertepatan dengan harga hartanah di ibu kota yang semakin meningkat.

“Setiap unit ini akan dijual di bawah harga RM300,000 dan kita menyasarkan golongan berpendapatan sederhana untuk membelinya apabila projek tersebut siap nanti,” katanya.

Tambah Mujahid, pihaknya juga akan mengenal pasti tanah milik MAIWP yang berpotensi untuk dibangunkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas